Geng Taufiq terbabit 20 kes pecah rumah dan curi akhirnya tumpas

Geng Taufiq terbabit 20 kes pecah rumah dan curi akhirnya tumpas

Penampang: Kegiatan kumpulan penjenayah yang dipercayai bertanggungjawab melakukan sekurang-kurangnya 20 kes pecah dan curi di sekitar daerah ini, akhirnya tumpas selepas ditahan polis dalam beberapa siri serbuan.

Kumpulan penjenayah dikenali Geng Taufiq dan aktif dalam aktiviti jenayah berkenaan sejak Januari tahun ini tumpas apabila sepasukan anggota dan pegawai dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang menyerbu lokasi persembunyian kumpulan terbabit, pada 14 Oktober lalu.

Mohd Haris ketika sidang media susulan kejayaan tangkapan Geng Taufiq yang aktif melakukan jenayah pecah rumah dan curi di Penampang.

Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim berkata, polis berjaya menahan tiga ahli Geng Taufiq termasuk ketua kumpulan berkenaan.

Katanya, dengan penahanan ketiga-tiga suspek berusia 18, 22, 32 tahun membawa kepada rampasan barang curi hasil kes pecah rumah di sekitar daerah ini.

Mohd Haris (dua dari kanan) menunjukkan barang yang dirampas selepas berjaya menumpaskan Geng Taufiq.

“Secara keseluruhan, dengan tertangkapnya Geng Taufiq ini, polis berjaya menyelesaikan sebanyak 20 kes pecah rumah dan curi di sekitar daerah ini.

“Jumlah keseluruhan kerugian membabitkan 20 kes pecah rumah dan curi ini bernilai RM125,000,” katanya dalam sidang media di Bilik Mesyuarat IPD Penampang, di sini, hari ini.

Antara barang curi yang berjaya dirampas semula.

Mohd Haris berkata, hasil soal siasat ke atas semua suspek ini mendapati mereka mula bergiat aktif melakukan jenayah pecah rumah dan curi sejak Januari 2022.

“Hal ini kerana salah seorang suspek telah menjalani hukuman penjara dan tamat hukuman pada Disember 2021 dan sudah enam kali ditahan atas kesalahan yang sama.

“Suspek ini juga asalnya bergiat dengan cara bersekala kecil seperti pecah bilik sewa dan rumah atas kedai. Kawasan operasi adalah di sekitar daerah ini dan modus operandi suspek adalah memantau dan memecah masuk rumah yang tidak berpenghuni terutamanya pada waktu penghuni bekerja dan juga waktu malam.

“Selepas itu, suspek terbabit mula cenderung menyasarkan jenis rumah-rumah kampung, bilik sewa, dan perumahan apartment dengan mencuri barang-barang kemas, elektronik seperti telefon bimbit Ipad dan tab serta wang tunai.

“Barang-barang hasil curi jenis barang kemas dilupuskan dengan cara menjual/gadai kepada pajak gadai atau kedai emas manakala barang curi jenis lain akan dijual atau digantikan kepada tokan dadah dan ditukarkan kepada dadah jenis syabu,” katanya.

Menurutnya, polis masih menjalankan siasatan termasuk mengesan seorang lagi ahli Geng Taufiq.

“Polis tidak menolak kemungkinan kumpulan ini turut terbabit jenayah pecah rumah di daerah lain.

“Ketiga-tiga suspek kini ditahan reman sehingga 21 Oktober mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|