Kota Kinabalu: Terdapat peningkatan melebihi 70 peratus dalam jumlah pengundi di kawasan Parlimen Keningau pada tahun ini.
Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan menyifatkan peningkatan mendadak itu sebagai sesuatu yang luar biasa dan meragukan.
“Angka pengundi di Parlimen Keningau berjumlah 51,777 pada tahun 2018 dan ia meningkat secara mendadak kepada 87,371 pada 2022, menjadikan peningkatan sebanyak 70.7 peratus.
“Saya telah dimaklumkan bahawa jumlah Undi18 di Keningau adalah kurang daripada 8,000.
“Adakah mustahil kita boleh mencapai peningkatan sebanyak 30,000 dalam tempoh kurang dari lima tahun. Macam ada yang tidak betul,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.
Terdahulu, Parti Maju Sabah (SAPP) telah mendedahkan peningkatan jumlah pengundi di Sabah yang disifatkan amat ‘mengejutkan’.
Parti tersebut berkata, daftar pemilih yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) menunjukkan peningkatan pengundi baru sebanyak 53.9 peratus, iaitu daripada 1,064, 686 pada 2018, kepada 1,638,806 pada tahun ini.
Peningkatan luar biasa tersebut menyebabkan presiden parti itu Datuk Seri Yong Teck Lee mengesyaki ianya disebabkan oleh terdapatnya jumlah besar pengundi yang dihasilkan oleh skandal Projek IC.
Yong dilaporkan berkata berdasarkan kepada kajian awal daftar pengundi tahun 2022, kebanyakan pengundi baru tersebut berumur antara 30 hingga 60an.
Katanya, adalah amat menghairankan bagaimana terdapat jumlah pengundi yang sudah berumur yang sedemikian besar.
Justeru, Jeffrey turut berkongsi kerisauan Yong dan menuntut agar pihak berkuasa melakukan siasatan dengan segera.
“Pengundi Sabah juga amat terkejut dengan pendedahan ini. Mereka menuntut jawapan dari pihak berkuasa dan juga tindakan segera diambil,” tegasnya.
-Deasoka