Patuhi arahan berpindah jika banjir – polis Penampang

Patuhi arahan berpindah jika banjir – polis Penampang

Penampang: Penduduk di daerah ini dinasihatkan berpindah lebih awal sekiranya diarahkan atau amaran berkenaan bencana banjir daripada pihak berkuasa.

Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim berkata, tindakan itu adalah bagi mengelakkan berlakunya situasi lebih buruk terhadap penduduk di kawasan terjejas.

Katanya, seperti sedia maklum, Penampang menjadi salah satu daerah yang terjejas akibat banjir apabila berlakunya hujan lebat berterusan.

“Berdasarkan pengalaman sebelum ini, kita nasihatkan masyarakat Penampang supaya berpindah ke kawasan selamat atau pusat pemindahan lebih awal sekiranya mendapat arahan pihak berkuasa ketika banjir.

“Ini adalah bagi mengelakkan sebarang kemalangan jiwa berlaku dan penduduk perlu ingat nyawa adalah lebih penting berbanding harta benda yang terpaksa ditinggalkan di rumah.

“Kita tidak mahu penduduk bertahan di rumah lebih lama sehingga ke satu tahap di mana mereka tidak dapat berpindah dan terpaksa meminta pasukan penyelamat melakukan perpindahan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd Haris berkata, pihaknya bersiap sedia sepenuhnya menghadapi bencana banjir.

Katanya, seramai 50 pegawai dan anggota IPD Penampang ditetapkan untuk bertugas ketika berlakunya bencana banjir.

“Kita juga bersiap sedia dengan logistik yang ada iaitu dua buah bot yang siap digunakan selain logistik lain yang boleh dipohon daripada ibu pejabat di IPK Sabah.

“Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) yang diketuai oleh pegawai daerah Penampang juga bersedia berikutan kita sudah melakukan beberapa siri mesyuarat penyelarasan dan juga simulasi latihan untuk persediaan banjir,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|