G57 minta SPRM siasat kerugian syarikat minyak masak BESS

G57 minta SPRM siasat kerugian syarikat minyak masak BESS

Kota Kinabalu: Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57), hari ini, membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menjalankan siasatan terhadap kerugian yang dialami syarikat Benta Edible Oil Sdn Bhd.

Mengikut laporan yang dibuat pertubuhan bukan kerajaan (NGO) terbabit, anak syarikat kerajaan negeri yang mengeluarkan minyak masak jenama ‘BESS’ itu didakwa mengalami kerugian mencecah RM6.73 juta sejak dilancarkan pada Februari 2020.

Zulkarnain menunjukkan laporan mengenai kerugian pengeluar minyak masak BESS yang diserahkan kepada SPRM.

Pengerusi G57, Datuk Zulkarnain Mahdar berkata, kejayaan menghasilkan minyak masak jenama tempatan itu sepatutnya membanggakan setiap rakyat di negeri ini.

Bagaimanapun katanya, kerugian yang dialami anak syarikat kerajaan itu amat memeranjatkan dan ia perlu disiasat oleh pihak sepatutnya seperti SPRM.

“Mengikut laporan yang dikeluarkan Gerakan Anti Rasuah Malaysia (GERAM), anak syarikat Benta Wawasan itu mengalami kerugian mencecah RM3 juta pada tahun pertama.

“Kemudiannya pada tahun kedua pula, syarikat ini sekali lagi mencatatkan kerugian sehingga menjadi jumlah kerugian terkumpul mencecah RM6.73 juta,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di pekarangan pejabat SPRM Sabah di Kompleks Pentadbiran Persekutuan Sabah, di sini, hari ini.

Zulkarnain berkata, setiap rakyat Sabah layak untuk mengetahui keadaan sebenar dan bagaimana kerugian itu boleh berlaku.

Katanya, pihak SPRM adalah agensi penguatkuasa yang paling sesuai untuk menyiasat secara telus berhubung kerugian yang dialami syarikat milik kerajaan itu.

“Kenapa syarikat pengeluar minyak jenama BESS boleh menanggung kerugian yang amat besar sejak dilancarkan bekas Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

“Kita berharap, siasatan akan dapat dijalankan dan seterusnya membawa pihak bertanggungjawab ke muka pengadilan,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|