Dua suspek pecah rumah cuba lari terjunam dalam parit

Dua suspek pecah rumah cuba lari terjunam dalam parit

Tawau: Cubaan dua lelaki disyaki terbabit jenayah pecah rumah melarikan diri gagal apabila motosikal dinaiki terbabas ke dalam parit sebelum diberkas polis, Khamis lalu.

Kedua-dua suspek berusia 33 dan 42 tahun berjaya ditahan polis yang sedang menjalankan sekatan jalan raya ‘Snap Spot Check’ di Jalan Bombalai hadapan Balai Polis Bombalai, jam 3 petang.

Pelbagai alat yang disyaki digunakan untuk tujuan pecah rumah.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, siasatan awal mendapati kedua-dua suspek yang menunggang motosikal dari arah Merotai menuju ke pusat bandar Tawau.

Bagaimanapun Katanya, ketika ditahan untuk pemeriksaan, kedua-dua suspek bertindak melarikan diri dengan berpatah balik ke arah Merotai.

Motosikal dinaiki kedua-dua suspek.

“Bagaimanapun, suspek hilang kawalan sebelum terbabas ke tepi kiri bahu jalan dan terjunam ke dalam parit.

“Anggota polis yang bertugas terus cuba menahan mereka sebelum berlaku sedikit pergelutan dan berjaya ditahan.

“Pemeriksaan awal tubuh dan barang peribadi milik suspek menemui pelbagai alat yang disyaki digunakan untuk tujuan pecah rumah di dalam dua beg sandakan milik kedua-dua suspek terbabit,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Jasmin berkata, kedua-dua suspek bersama barang rampasan dibawa balik ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk siasatan lanjut.

“Hasil semakan yang dijalankan mendapati suspek pertama mempunyai enam rekod kesalahan lampau iaitu empat rekod berkait dadah dan dua membabitkan jenayah.

“Suspek kedua pula mempunyai 11 rekod jenayah lampau berkaitan dengan jenayah dan juga dadah,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|