Remaja warga UK cedera ketika daki bukit, diselamatkan

Remaja warga UK cedera ketika daki bukit, diselamatkan

Tuaran: Seorang remaja perempuan berasal dari United Kingdom (UK) terpaksa diselamatkan selepas tergelincir ketika aktiviti mendaki di Kampung Bukit Borombon, Kiulu, di sini, hari ini.

Dalam kejadian jam 1 tengah hari itu, mangsa yang berusia 18 tahun dilaporkan terpaksa diangkat selepas mengalami kecederaan di badan akibat terjatuh.

Anggota bomba mengangkat mangsa yang cedera menggunakan stretcher.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 1.12 petang.

Katanya, seramai lapan pegawai dan anggota bersama jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) terus dikerah ke lokasi kejadian.

“Mangsa dilaporkan mengalami kecederaan di belakang badan selepas terjatuh dan tergelincir ketika aktiviti mendaki bukit berkenaan.

“Pasukan Bomba terus bertindak mengangkat dan membawa mangsa turun menggunakan stretcher sejauh 400 meter,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Menurutnya, mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum dihantar ke Hospital Tuaran menaiki Ambulans untuk rawatan selanjutnya.

Katanya, pasukan operasi kemudiannya menjalankan pemeriksaan lanjut bagi memastikan tiada lagi kemerbahayaan lain sebelum operasi ditamatkan pada jam 2.45 petang.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|