Dua rumah roboh, sembilan terjejas susulan fenomena air pasang, ombak besar

Dua rumah roboh, sembilan terjejas susulan fenomena air pasang, ombak besar

Kota Kinabalu: Dua rumah roboh dan sembilan lagi terjejas susulan fenomena air pasang besar serta ombak besar di Kampung Tanjung Aru Baru, di sini, malam tadi.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan Kalsom Idris berkata, air pasang besar mula naik sekitar jam 5 petang lalu mengarahkan pasukan polis supaya memaklumkan dan mengingatkan penduduk di kawasan berkenaan supaya berjaga-jaga dan bersiap sedia.

Keadaan ombak besar menyebabkan jambatan di Kampung Tanjung Aru Baru, Kota Kinabalu rosak.

“Hasil pemeriksaan didapati sebanyak 11 rumah yang terkesan. Dua daripadanya roboh dan dihanyutkan manakala sembilan yang lain dinaiki air dan dipukul ombak.

Keadaan rumah yang rosak teruk susulan fenomena air pasang besar dan ombak besar di Kampung Tanjung Aru Baru, Kota Kinabalu.

“Atas sebab-sebab keselamatan, kita mengarahkan penduduk untuk mengosongkan rumah mereka,” katanya ketika ditemui selepas meninjau situasi berkenaan di Kampung Tanjung Aru Baru, sebentar tadi.

Keadaan jambatan yang rosak akibat dipukul ombak di Kampung Tanjung Aru Baru, Kota Kinabalu.

Beliau berkata, kejadian itu juga menyebabkan beberapa jambatan di kawasan kampung berkenaan turut rosak akibat dipukul ombak.

Rumah yang terjejas di Kampung Tanjung Aru Baru, Kota Kinabalu.

“Setakat ini, seramai 32 keluarga membabitkan 273 orang dikenalpasti terjejas akibat fenomena ini.

Pasukan penyelamat yang menjalankan pemeriksaan di Kampung Tanjung Aru Baru, susulan fenomena air pasang besar dan ombak besar.

“Mangsa kini ditempatkan di Dewan Terbuka Tanjung Aru, manakala terdapat segelintir yang menumpang bersama saudara-mara mereka yang tinggal berdekatan,” katanya.

Penduduk yang terjejas ditempatkan di Dewan Terbuka Tanjung Aru, Kota Kinabalu.

Jelasnya lagi, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan pasukan menyelamat masih menjalankan pemantauan dan pemeriksaan di lokasi berkenaan.

Polis Diraja Malaysia (PDRM); Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM); Angkatan Tentera Malaysia (ATM); Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM); Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK); Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) masih menjalankan pemeriksaan dan pemantauan di lokasi berkenaan.

Terdahulu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran hujan berterusan peringkat waspada di Sabah bermula 23 hingga 26 Disember ini.

Menerusi laman Facebook MetMalaysia petang tadi, jabatan itu memaklumkan bahawa hujan berterusan dijangka berlaku di beberapa bahagian di negeri ini.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|