Tenom: Saksi kelima kes gangguan seksual membabitkan penceramah Ebit Lew memberitahu mahkamah, beliau merampas telefon bimbit pengadu sebagai barang kes dalam siasatan kes berkenaan.
Asistan Superintenden (ASP) Norfazliyani Zolkapeli, berkata beliau berbuat demikian selepas menerima arahan Deputi Superintendan (DSP) Noor Ashikin Shamsuri pada 7 Ogos 2021.
“Saya kemudiannya pada hari sama membuat rampasan sebuah telefon bimbit dari ‘pengadu’ di Pusat Temuduga Kanak-kanak (CIC), Bukit Aman pada jam 4.30 petang.
“Pengadu kemudiannya menyerahkan sebuah telefon bimbit berjenama Samsung Galaxy A31 berwarna biru, satu kad sim Unifi dan kad memori Samsung,” katanya pada prosiding perbicaraan kes itu di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini.
Norfazliyani berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Timbalan Pendakwa Raya, Nor Azizah Mohamad pada sesi pemeriksaan utama perbicaraan.
Ditanya mengenai tindakan lanjut Norfazliyani selepas membuat rampasan barang kes berkenaan, beliau berkata telah membuat tandaan pada telefon bimbit itu sebelum membuat senarai barang rampasan dalam borang pemeriksaan.
Menurutnya, satu laporan polis juga dibuat bagi membuktikan rampasan terbabit sudah dilaksanakan.
Ebit pada 18 Februari lalu didakwa atas 11 pertuduhan termasuk dakwaan mengaibkan kehormatan seorang wanita berumur 41 tahun di daerah Tenom dengan menghantar perkataan lucah ke nombor telefon mangsa melalui aplikasi WhatsApp, antara Mac dan Jun tahun lalu.
Berikutan itu, Ebit dituduh melakukan perbuatan berkenaan mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Majistret Nur Asyraf Zolhani kemudian menetapkan perbicaraan kes berkenaan disambung semula pada 7 hingga 10 Februari depan.
-Deasoka