14 jurulatih bola sepak tempatan sertai Program Pelawat Sukan 2023 di Amerika Syarikat

14 jurulatih bola sepak tempatan sertai Program Pelawat Sukan 2023 di Amerika Syarikat

Kota Kinabalu: Seramai 14 jurulatih dan pegawai pentadbir sukan Sabah bakal menyertai Program Pelawat Sukan 2023 di Amerika Syarikat, pada 6 hingga 23 Januari depan.

Menerusi program ini, mereka akan didedahkan kepada gaya kepimpinan Amerika, amalan terbaik dan kontak utama dalam sukan, khususnya bola sepak.

Hajiji bersama 12 daripada 14 jurulatih dan pegawai pentadbir sukan Sabah dipilih menyertai Program Pelawat Sukan 2023 di Amerika Syarikat.

Mereka juga akan mempelajari teori dan teknik kejurulatihan terkini selain berpeluang untuk bertemu dengan organisasi sukan bertaraf dunia di Philadelphia dan Miami.

Dalam pada itu, Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor mengingatkan semua peserta agar sentiasa menjaga keselamatan diri, nama baik negara dan juga negeri, sepanjang berada di negara berkenaan, kerana peluang seperti itu bukan senang diperolehi.

Sambil melahirkan rasa bangga dan merakamkan tahniah dengan pemilihan mereka, beliau berharap ilmu dan kemahiran yang diperoleh akan dikongsi dengan komuniti tempatan.

Sebahagian peserta terpilih ketika sesi perkongsian yang diadakan di Hotel Toojou, Kota Kinabalu.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan selepas menerima kunjungan hormat daripada para peserta di pejabatnya, baru-baru ini.

Majlis Belia Sabah, Kelab Bola Sepak Sabah, dan Kedutaan A.S. Kuala Lumpur telah bekerjasama dalam mengenal pasti dan memilih peserta.

Antaranya ialah Farish Aziz dan Hafipah Mohaidil dari Likas, Abdul Rahim Abu (Bongawan); Alice Mic Michael (Kiulu), Evlin Sulaiman (Tenom), Melvin Tan (Kota Belud), Rizal Hamid (Putatan), dan Awang Shahzmee (Tuaran).

Selain itu, ialah Annabelle Andrews dan Lindsay Michael dari Ranau, Nazrin Noin (Papar), Fitri Amri (Banggi), serta Ayrton Sikawa dan Elecsie Joseph dari Penampang.

Sementara itu, salah seorang peserta yang ditemui, Melvin Tannberkata, beliau sangat teruja untuk melihat serta mempelajari perkembangan dan teknik pengurusan bola sepak di Amerika Syarikat.

Beliau yang juga graduan Sains Sukan daripada Universiti Malaysia Sabah (UMS) berkata, segala ilmu yang dipelajari dalam program itu akan digunapakai selain dikongsikan bersama masyarakat setempat.

“Program ini boleh membantu saya untuk meluaskan pengetahuan dalam sukan ini dan ia boleh diadaptasikan ke sistem sukan tempatan kita.

“Saya juga tertarik untuk mempelajari dengan lebih mendalam mengenai pengurusan serta pelancongan berasaskan sukan, bagaimana ia dapat mengangkat Sabah ke peringkat lebih tinggi, khususnya dalam industri sukan.

Sementara itu, seorang lagi peserta, Hafipah Mohaidil berkata, beliau komited untuk memberikan sepenuh fokus dan memanfaatkan sepenuhnya program tersebut.

Hafipah yang merupakan jurulatih pasukan bola sepak wanita tempatan berkata, beliau tertarik untuk mempelajari perbezaan serta persamaan dari segi pengurusan sukan di antara kedua negara ini.

“Saya berharap saya dapat belajar lebih banyak, tambah ilmu dari segi bola sepak dan cara mereka berlatih.

“Saya berminat juga untuk melihat cara pengurusan penganjuran kejohanan di sana,” katanya lagi.

Selepas tamat program ini, para peserta akan berkongsi pengetahuan dan kemahiran yang mereka perolehi dengan komuniti tempatan mereka melalui pelbagai program melatih pelatih dan klinik bola sepak di Sabah.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|