Wanita maut dihempap pokok tumbang

Wanita maut dihempap pokok tumbang

Papar: Seorang wanita maut selepas dihempap pokok dalam kejadian di Kampung Laut Kinarut, di sini, petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 petang itu, pokok berkenaan dilaporkan turut menghempap tiga rumah sehingga ranap.

Pasukan bomba memotong pokok yang tumbang untuk mengeluarkan mangsa.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 2.59 petang.

Katanya, sepasukan 13 anggota dan pegawai bersama jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) terus dikerah ke lokasi kejadian.

“Dalam kejadian itu, ketiga-tiga rumah berkenaan dilaporkan mengalami kerosakkan keseluruhan sehingga 80 peratus.

“Terdapat seorang mangsa wanita berusia 55 tahun turut dilaporkan dihempap pokok kayu ara yang tumbang,”katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Menurutnya, pasukan bomba terus bertindak memotong pokok berkenaan menggunakan gergaji berantai untuk mengeluarkan mangsa.

Katanya, mangsa kemudiannya disahkan meninggal dunia oleh Pegawai Perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang hadir membantu di lokasi kejadian.

“Mayat mangsa seterusnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

“Pasukan operasi kemudiannya melakukan pemeriksaan lanjut bagi memastikan tiada lagi kemerbahayaan lain sebelum operasi ditamatkan pada jam 5.29 petang,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|