Bekalan makanan di Sabah cukup – Jeffrey Kitingan

Bekalan makanan di Sabah cukup – Jeffrey Kitingan

Kota Kinabalu: Kementerian Pertanian dan Perikanan Sabah memberi jaminan bekalan makanan dan keperluan di negeri ini mencukupi sepanjang musim perayaan sehingga Tahun Baru Cina 2023.

Menterinya, Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan berkata kementeriannya akan terus komited dalam memastikan bekalan makanan stabil dan mencukupi khususnya sepanjang musim perayaan sehingga menjelang persiapan Tahun Baharu Cina pada akhir Januari depan.

Katanya, langkah awal sudah dilakukan kementeriannya bagi memastikan isu kekurangan bekalan tidak timbul, manakala stok bekalan makanan yang menjadi keperluan asas seperti telur, daging, ayam, ikan, buah-buahan dan sayuran sentiasa stabil dan mencukupi.

“Secara umumnya, bekalan makanan bagi komoditi sayuran dan buah-buahan di Sabah adalah mencukupi. Berdasarkan data Jabatan Pertanian Sabah pada 2021, pengeluaran bagi tiga jenis sayuran iaitu kubis bulat, cili merah dan tomato adalah masing-masing 7,788 tan, 741 tan dan 1,162 tan berbanding keperluan sebanyak 8,274 tan, 736 tan dan 1,383 tan.

“Bagi menampung kekurangan keperluan pada tahun itu, Sabah mengimport masing-masing sebanyak 578 tan, 32 tan dan 471 tan kubis bulat, cili merah dan tomato,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Bagi tahun ini, katanya anggaran pengeluaran jenis sayuran yang sama masing-masing adalah 8,411 tan, 800 tan dan 1,255 tan, manakala keperluan sepanjang tahun dianggar sebanyak 8,278 tan, 758 tan dan 1,414 tan.

Katanya, dianggarkan keperluan sepanjang Januari 2023 adalah 0.68 tan kubis bulat, 0.06 tan cili merah dan 0.12 tan tomato.

“Berdasarkan rekod kemasukan konsainan pertanian Jabatan Pertanian Sabah pada November 2022 mencatatkan permohonan sebanyak 23,000 kilogram (kg) cili merah dibawa masuk ke Sabah.

“Dalam sektor perikanan, berdasarkan data Jabatan Perikanan, Sabah merupakan satu-satunya pengeluar bekalan ikan melebihi keperluan penduduknya dengan Self Sufficiency Level (SSL) melebihi 100 peratus.

“Kadar pengambilan ikan rakyat Sabah (PCC) dianggarkan 46.4 kilogram per tahun. Pengeluaran kasar ikan di Sabah pada 2021 direkodkan berjumlah 405,501.31 tan metrik.

“Pengeluaran ini menunjukkan trend kenaikan 1.14 peratus dari tahun sebelumnya. Sebanyak 53.31 peratus adalah dari sub sektor perikanan tangkap iaitu 216,319 tan, manakala dari sub sektor akuakultur ialah 46.65 peratus atau 189,307 tan metrik dan sedikit sumbangan perikanan darat iaitu 0.04 peratus atau 175.68 tan,” katanya.

Bagaimanapun, katanya bagi sumber bekalan untuk konsumsi rakyat tempatan, hasil perikanan tangkap lebih mendominasi kerana pendaratan jenis ‘ikan rakyat’ paling banyak di daratkan (basung, kembung, tulai, kayu, tuna dan sebagainya).

Jelasnya, hasil akuakultur yang dikeluarkan sebahagiannya bagi tujuan eksport (udang kolam, rumpai laut dan ikan sangkar) dengan anggaran pendaratan perikanan tangkap setakat November 2022 berjumah 203,356.26 tan.

“Berdasarkan kepada trend ini, pihak kementerian yakin bekalan ikan di Sabah sepanjang musim perayaan adalah mencukupi.

“Kementerian memberi jaminan dan menasihati rakyat di Sabah agar tidak perlu risau mengenainya. Kalau kemungkinan harga sedikit meningkat dari kebiasaan ianya adalah lumrah berlaku pada setiap perayaan tetapi ianya untuk tempoh jangka pendek sahaja.

“Ramai pengusaha perikanan di negeri ini memiliki kilang dengan peti simpanan sejuk menyimpan hasil ikan yang berlebihan ditangkap pada bulan-bulan tertentu.

“Mereka akan mengeluarkan stok ikan-ikan ini untuk dijual apabila bekalan ikan berkurang terutama pada musim perayaan.

“Di samping itu, setiap tahun pada bulan Disember sehingga Mac adalah musim tengkujuh yang berisiko kepada nelayan untuk turun ke laut, jadi sudah tentu pengusaha kapal komersial dijangka berehat tiga hingga lima hari ketika musim perayaan dan dijangka berlaku sedikit pengurangan pendaratan,” katanya.

Jeffrey berkata, berdasarkan data Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sabah, bekalan komoditi ternakan seperti daging ayam, khinzir dan telur ayam juga mencukupi untuk menampung keperluan domestik walaupun berlaku sedikit penurunan.

Katanya, pengeluaran bekalan telur ayam masih dalam keadaan terkawal iaitu sebanyak 2.7 juta biji sehari bagi menampung keperluan domestik.

“Terdapat sedikit penurunan dalam pengeluaran daging ayam iaitu secara purata sebanyak 10 peratus hingga 15 peratus dan begitu juga dengan daging khinzir sebanyak 30 peratus.

“Walaupun berlaku sedikit penurunan dari segi pengeluaran daging ayam dan khinzir, bekalan masih mencukupi dan dapat menampung keperluan domestik,” katanya.

Bagi pengeluaran ayam pedaging pada tahun ini, sebanyak 32 juta ekor dianggarkan dengan penyembelihan sebanyak 90,000 ekor sehari, manakala pengeluaran babi sebanyak 109,500 ekor dengan jumlah penyembelihan sebanyak 300 ekor sehari.

Sehubungan itu, katanya kementerian akan terus berusaha dan bekerjasama dengan kementerian, jabatan dan agensi yang lain dalam memastikan bekalan makanan di negeri ini terus berada pada tahap yang stabil, mencukupi dan terkawal sepanjang masa.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|