Kota Kinabalu: Fenomena hujan lebat dan air laut pasang menyebabkan jalan raya di kawasan Tanjung Lipat berhampiran Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, dinaiki air sejak petang tadi.
Kejadian itu menyebabkan jalan raya fi laluan berkenaan sukar dilalui kenderaan ringan dan membimbangkan warga bandar raya yang sering menggunakan jalan berkenaan untuk pulang ke rumah di kawasan Likas, Inanam dan Sepanggar.

Kejadian air melimpah ke atas jalan itu turut tular di media sosial dan mendapat pelbagai reaksi serta komen warganet yang rata-rata menasihatkan pengguna jalan supaya lebih berhati-hati ketika melalui jalan berkenaan.
Tidak kurang juga ada yang menyuarakan kebimbangan keadaan jalan yang akan mengalami kesesakan selain kesan karat terhadap kenderaan disebabkan terkena air laut.
Tinjauan di lokasi pula mendapati, fenomena luar biasa itu menarik perhatian ramai sehingga ada pemandu dan penumpang kenderaan yang berhenti untuk merakamkan fenomena berkenaan.
Keadaan angin kencang turut menyebabkan ombak menghempas batu penghadang di pesisir pantai berkenaan.
Bagaimanapun, setakat ini, tiada sebarang kejadian yang tidak diingini atau kemalangan berlaku akibat fenomena berkenaan.
-Deasoka