Kerajaan negeri sediakan cadangan penuh TAED tahun depan – Hajiji

Kerajaan negeri sediakan cadangan penuh TAED tahun depan – Hajiji

Kota Kinabalu: Kerajaan negeri akan menyediakan kertas cadangan mengenai Projek Tanjung Aru Eco Development (TAED) pada tahun depan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, ia dilakukan selepas penelitian menyeluruh dijalankan ke atas projek berkenaan.

“Ya, kita ada satu perancangan untuk membangunkan TAED ini. Jadi, kita akan maklumkan kepada orang awam apabila laporan lengkap untuk pembangunan ini tersedia.

“Projek ini sudah lama dan banyak isu-isu serta sensitiviti yang perlu kita atas. Jadi, bagi kita ruang.

“Saya rasa menjelang tahun depan kita akan tampil dengan cadangan penuh berkaitan projek ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Jalinan Strategik SEDIA bersama Pentadbiran Daerah, di Menara Kinabalu, hari ini.

Dalam perkembangan lain, ketika ditanya sekiranya terdapat perancangan untuk menambah barisan Kabinet negeri, Hajiji berkata, belum ada keputusan muktamad dibuat setakat ini.

Bagaimanapun, jelasnya, untuk berbuat demikian, pindaan perlu dibuat terhadap Perlembagaan Negeri terlebih dahulu.

“Setakat ini, kita belum lagi membuat sebarang keputusan. Kita akan meneliti perkara itu sekiranya terdapat keperluan.

“Sudah tentu, kita perlu meminda Perlembagaan Negeri terlebih dahulu,” katanya lagi.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|