Siapkan program, projek kerajaan ikut jadual ditetapkan – Hajiji

Siapkan program, projek kerajaan ikut jadual ditetapkan – Hajiji

Kota Kinabalu: Semua program dan projek kerajaan yang dilaksanakan di peringkat daerah sama ada melalui Pihak Berkuasa Pembangunan Ekonomi dan Pelaburan Sabah (SEDIA) atau kementerian lain perlu disiapkan mengikut jadual yang ditetapkan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, dalam konteks ini, kerjasama semua terutama sekali Datuk Bandar, pegawai daerah, presiden majlis perbandaran dan pegawai kanan kerajaan adalah penting.

Hajiji bersama Pegawai Daerah yang menghadiri Program Jalinan Strategik SEDIA dengan Pentadbiran Daerah di Menara Kinabalu.

Jelasnya, ia perlu bagi mempertingkatkan lagi tahap kerja serta usaha agar program dan projek kerajaan yang diluluskan di daerah masing-masing dapat dilaksanakan sepenuhnya.

“Saya berasa sedih apabila menerima laporan berkaitan pelaksanaan program dan projek pembangunan pada tahun ini.

“Kita sudah bagi peruntukan dan projek diluluskan tetapi laporan pelaksanaan projek tidak memberangsangkan. Ada yang hanya 60 peratus saja (siap) pada tahun ini, sama seperti tahun lalu juga (60 peratus).

“Rakyat mengharapkan kita melaksanakan program dan projek ini tetapi malangnya tidak siap dilaksanakan.

“Kerajaan memberi perhatian serius perkara ini dan saya menerima maklumat daripada Kementerian Kewangan bahawa prestasi pelaksanaan projek tidak memberangsangkan pada tahun ini.

“Justeru, saya mahu semua pihak yang berkaitan memberi perhatian sepenuhnya termasuk untuk memantau semua program dan projek yang dilaksanakan kerajaan.

“Jika projek untuk rakyat tidak dapat dilaksanakan, rakyat akan rugi dan marah kepada kerajaan termasuk saya sebagai Ketua Menteri,” katanya ketika merasmikan Program Jalinan Strategik SEDIA dengan Pentadbiran Daerah di Menara Kinabalu, hari ini.

Sambil mengakui peranan pegawai daerah penting, Hajiji yang juga Pengerusi SEDIA turut mengingatkan mereka agar tidak ‘memandai-mandai’.

“Kita akui peranan pegawai daerah penting, tapi jangan memandai-mandai. Saya akan memantau prestasi pegawai daerah.

“Saya juga terima laporan ada yang pandai dan ada juga yang ‘memandai-mandai’. Saya juga menerima laporan daripada orang ramai dari kawasan masing-masing.

“Selaku Ketua Menteri, saya ingin tegaskan bahawa saya akan menjadi lebih tegas dengan semua pegawai daerah. Jangan marah saya sebab macam-macam laporan yang kita terima.

“Jadi, sekiranya laporan yang diterima ini benar atau betul, saya tegaskan di sini saya tidak akan teragak-agak untuk ambil tindakan,” katanya.

Beliau juga mahu semua pegawai kerajaan termasuk pegawai daerah akan mempercepatkan semua permohonan pelaburan tempatan dan asing ke negeri ini sejajar dengan pendekatan mesra pelabur yang diamalkan oleh kerajaan negeri.

“Pelabur datang untuk membawa peluang pekerjaan kepada rakyat kita, justeru jangan melambatkan kelulusan. Ini juga akan membantutkan usaha kerajaan membawa pembangunan ke negeri ini,” katanya.

Sementara itu, Hajiji berkata banyak iktibar yang perlu diambil perhatian berat oleh semua pihak, termasuk SEDIA bagi memulihkan semula ekonomi selepas pandemik COVID-19.

Katanya, SEDIA mempunyai hubungan kerjasama yang erat dan kukuh dengan agensi-agensi Kerajaan Persekutuan dan Negeri dalam melaksanakan program dan projek pembangunan yang mampu meningkatkan kepesatan aktiviti ekonomi, terutamanya di kawasan luar bandar.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|