Beaufort: Dua lelaki ditahan semalam selepas disyaki melakukan aktiviti mencuri motosikal yang dilaporkan hilang pada Sabtu lalu.
Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 petang itu, dua suspek berusia 24 dan 25 tahun itu ditahan di dua lokasi berasingan iaitu sekitar Pekan Beaufort dan Kampung Bakalau.
![](https://deasoka.com/wp-content/uploads/2022/01/588702e2-93a8-4fca-bc9b-e950c2b0faae-1024x576.jpg)
Ketua Polis Daerah Beaufort, Deputi Superintendan Yusoff Zaki Mat Yaacob berkata, tangkapan berdasarkan satu laporan polis yang dibuat oleh seorang lelaki berkaitan sebuah motosikal hilang.
Katanya, menurut laporan pengadu motosikal diletakkan di hadapan sebuah hotel di Pekan Beaufort dan ketika kejadian pada jam 11 malam didapati motosikalnya hilang.
“Hasil risikan, satu operasi Ops Lejang dibuat di Pekan Beaufort Jaya dan hasil pemeriksaan seorang lelaki sedang meninggang motosikal Modenas Kriss.
“Pasukan polis kemudian menahan motosikal terbabit sebelum memperkenalkan diri kepada penunggang terbabit dan pemeriksaan mendapati motosikal terbabit yang dilaporkan hilang sebelum ini,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Yusoff berkata lagi, susulan daripada penemuan itu membawa kepada satu lagi tangkapan yang dibuat Kampung Bakalau.
“Suspek pertama memkalumkan bahawa terdapat seorang lagi rakan sejenayahnya dan bertindak atas maklumat membawa kepada satu serbuan di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Bakalau.
“Seorang lelaki kemudian ditahan dipercayai suspek kedua dalam kes ini,” katanya.
Tambahnya lagi, motosikal dirampas dan kedua-dua suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beaufort untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan,” katanya.
-Deasoka