Pitas perlu dewan dua tingkat untuk sebarang bencana

Pitas perlu dewan dua tingkat untuk sebarang bencana

Pitas: Daerah Pitas memerlukan dewan dua tingkat khusus untuk menempatkan mangsa-mangsa sekiranya berlaku bencana seperti banjir.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pitas, Datuk Seri Ruddy Awah berkata, kemudahan itu amat diperlukan, memandang ketika ini Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) terpaksa bergantung kepada bangunan kerajaan terutamanya sekolah.

Datuk Seri Ruddy Awah.

Katanya, beliau selaku ADUN di kawasan berkenaan sudah memohon peruntukan daripada Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) untuk membuat dewan besar sebelum ini.

“Kita sudah memohon peruntukan sebanyak RM1.5 juta kepada KPLB untuk membina satu dewan besar dua tingkat untuk pemindahan mangsa banjir.

“Namun sehingga hari ini, masih belum lagi mendapat kelulusan. Kita tidak boleh mengharapkan sangat bangunan-bangunan kerajaan, terutama sekali sekolah,” katanya ketika ditemui di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Rendah Pekan Pitas II, semalam.

Ruddy berkata, usaha mengatasi masalah banjir di daerah Pitas bukan mudah kerana ia memerlukan peruntukan yang amat besar.

Katanya, antara penyelesaian kepada masalah banjir di daerah Pitas adalah kerja-kerja mendalam sungai, membuka longkang dan meluas parit.

“Namun, ia memerlukan peruntukan besar sehingga mencecah puluhan juta. Oleh itu, pembinaan dewan ini perlu diambil perhatian kerana ketika ini hanya bergantung kepada empat lokasi yang boleh dijadikan sebagai PPS.

“Semua PPS ketika ini juga adalah bangunan sekolah, jadi kita perlu kerajaan bertindak dan kementerian bertanggungjawab perlu mengambil inisiatif serta memikirkan cara bagaimana untuk memiliki bangunan sendiri.

“Ia bagj menempatkan mangsa-mangsa yang perlu dipindahkan dari semasa ke semasa setiap kali berlakunya bencana,” katanya.

Sementara itu, Ruddy berkata, bantuan wang untuk mangsa banjir yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mohon disegerakan.

Katanya, beliau mengharapkan peruntukan itu disalurkan segera untuk membantu rakyat yang terbeban akibat kejadian banjir.

“Selain bantuan kewangan, Daerah Pitas juga mohon bantuan bakul makanan, itu keperluan dan kalau boleh keluarkan saja terus peruntukan demi untuk membantu rakyat,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|