Cubaan seludup syabu ke Sabah dan Sarawak guna kurier gagal

Sepang: Cubaan menyeludup dadah syabu menggunakan khidmat penghantaran kurier ke Sabah dan Sarawak gagal apabila kegiatan itu dikesan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) KLIA.

Rampasan berasingan di Kompleks Kargo KLIA itu membabitkan sebanyak 28 kilogram syabu dianggarkan bernilai RM1.008 juta.

Dadah yang dirampas disorok dalam ketuhar dan peralatan elektrik. Pix Ihsan Polis IPD KLIA 

Ketua Polis Daerah KLIA, Asisten Komisioner Imran Abd Rahman berkata, rampasan pertama berlaku pada 8 Mei lalu membabitkan tiga bungkusan teh Cina berisi syabu seberat tiga kilogram yang disembunyikan dalam ketuhar untuk dihantar ke Tawau.

Katanya, rampasan kedua pula pada 11 Mei lalu membabitkan sebanyak 25 kilogram yang disorok dalam peralatan elektrik untuk dihantar ke Tawau, Sabah dan Kuching, Sarawak.

“Anggaran keseluruhan nilai rampasan berjumlah RM1.008 juta.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya dalam sidang media, pagi tadi.

Menurutnya, sejak awal tahun ini, Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik KLIA dengan kerjasama orang awam berhata mematahkan beberapa cubaan penyeludupan dadah dengan jumlah rampasan sebanyak 56,078 gram bernilai RM2.018 juta di kargo KLIA.

“Modus operandi yang digunakan ahli sindiket adalah menghantar dadah yang disorokkan dalam peralatan elektrik dan pengubahsuaian kotak bagi mengaburi pihak berkuasa dengan menggunakan perkhidmatan kurier.

“Hasil analisa yang dijalankan, dengan jumlah berat gram dadah yang dirampas ia boleh digunakan hampir 280,000 penagih,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menyeru kerjasama orang awam untuk menyalurkan sebarang maklumat mengenai aktiviti pengedaran dadah yang menjadikan KLIA sebagai laluan bagi menjalankan aktiviti pengedaran dan penyeludupan dadah.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|