Labuan: Cubaan menyeludup keluar minuman keras dari pulau bebas cukai itu gagal apabila dikesan Pasukan Polis Marin (PPM) di kawasan laut Menumbuk, awal pagi tadi.
Dalam kejadian jam 4.10 pagi itu, semua minuman keras yang dirampas termasuk cukai dianggarkan bernilai RM144,709.50.
Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Wilayah Persekutuan Labuan, Asisten Superintendan Saidul Maruf Rosli berkata, pihaknya dalam satu operasi membuat pemantauan ke atas sebuah bot yang disyaki membawa minuman keras dari Labuan di kawasan laut Menumbuk.
Katanya, anggota PPM kemudian menahan bot berkenaan di tepi bakau Menumbuk.
“Ketika bot itu ditahan, dua suspek yang berada di atas bot bertindak terjun melarikan diri di kawasan paya bakau dan gagal dikesan.
“Hasil pemeriksaan mendapati muatan yang dibawa iaitu minuman keras yang dipercayai belum bercukai ingin diseludup dari Labuan ke tanah besar Sabah,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Saidul berkata, minuman keras dan sebuah bot fiber beserta enjin bot dirampas dan nilai rampasan keseluruhan termasuk cukai berjumlah RM144,709.50.
“Kes disiasat mengikut Akta Kastam 1967 dan diserahkan kepada Jabatan Kastam Wilayah Persekutuan Labuan.
“PPM Wilayah 4 Sabah sentiasa mengalu-alukan maklumat daripada seluruh komuniti maritim untuk melaporkan sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang secara terus ke talian 24 jam atau menggunakan aplikasi WhatsApp ke Pusat Komunikasi PPM Sabah di talian 013-9391197,” katanya.
-Deasoka