Kota Kinabalu: Barisan Nasional (BN) Sabah memandang secara positif pembentukan jawatankuasa kerjasama solidariti Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan BN.
Pengerusinya, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, pihaknya positif dengan pembentukan itu demi mengukuhkan kerajaan negeri serta kepentingan rakyat Sabah.
“Setakat ini belum ada (pemakluman daripada GRS), tetapi secara prinsipalnya kita memang mengalu-alukan sebab kita memikirkan kepentingan rakyat Sabah dan juga pembangunan negeri Sabah itu.
“Yang penting, Sabah sudah lama ketinggalan dari segi pembangunan dari segi ekonomi dan sebagainya, termasuk peluang pekerjaan.
“Jadi saya rasa sudah tiba masanya untuk kita memperkukuhkan kerajaan untuk memastikan rakyat Sabah juga berhak hidup dalam keadaan yang baik dari hari ini,” katanya ketika ditemui media selepas hadir pada Jamuan Aidilfitri BN Sabah, di sini, hari ini.
Sebelum ini, Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor memaklumkan satu jawatankuasa kerjasama solidariti GRS dan BN dibentuk bertujuan mengelak daripada berlaku pertembungan dalam Pilihan Raya Umum ke- 15 (PRU15).
Sementara itu, diminta mengulas mengenai beberapa kerusi tradisi BN yang kini turut menjadi rebutan untuk PRU-15, Bung Moktar berkata, perkara itu akan dibincangkan nanti.
“Nanti kita bincang sebab memang adat berparti, hampir semua mahu bertanding cuma kita akan tengok keadaannya, sampai masa kita akan putuskan,” katanya.
-Deasoka