Kota Kinabalu: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sindumin, Datuk Dr Yusof Yacob membayangkan bakal menyertai parti baharu dalam masa terdekat.
Bekas Ketua Penerangan Parti Warisan (WARISAN) yang keluar parti pada Oktober lalu itu berkata beliau sudah membuat pilihan menyertai parti baharu itu dan hanya menunggu masa sesuai untuk mengumumkannya.
Katanya, beliau juga kekal menyokong kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) – BN serta kepemimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di peringkat Pusat.
“Soal di mana parti mahu disertai itu nanti kita akan tahu. Saya sudah buat keputusan dan sekarang tinggal menunggu masa yang sesuai saja untuk mengumumkannya.
“Borang juga sudah isi, jadi nanti apabila tiba masanya saya akan umum,” katanya ditemui pada majlis rumah terbuka Aidilfitri Barisan Nasional (BN) Sabah, di sini, hari ini.
Majlis yang dihoskan Pengerusi BN Sabah yang juga Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin itu turut dihadiri Ismail Sabri dan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor serta pemimpin parti komponen BN dan GRS.
Dr Yusof ditanya mengenai halatuju politiknya setelah kira-kira tujuh bulan menjadi wakil rakyat bebas yang mesra kerajaan GRS-BN dan kerajaan Pusat pimpinan Ismail Sabri.
Katanya, keputusan yang diambilnya itu bermaksud apa yang berlaku sebelum ini perlu dilupakan demi kepentingan dan masa depan negeri serta generasi muda Sabah.
“Maksud saya kita harus lupakan yang lalu. Kita sayang generasi muda yang memerlukan bimbingan, kami (pemimpin) di atas ini tidak lagi banyak difikir selain untuk masa depan negeri dan anak muda,” katanya.
Sementara itu, Bung Moktar yang ditanya pemberita selepas Dr Yusof menyatakan sudah membuat pilihan parti baharu, membayangkan bekas Menteri Pelajaran dan Inovasi Sabah itu bakal kembali kepada UMNO – BN.
“Sampai masanya nanti kita akan maklumkan, mungkin dalam satu dua hari ini,” katanya.
Dr Yusof pernah menjadi pemimpin UMNO Sipitang termasuk memegang jawatan Ketua Bahagian sebelum menyertai perjuangan bekas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal melalui WARISAN dan memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sindumin atas tiket parti itu pada Pilihan Raya Umum (PRU) 2018 dan Pilihan Raya Negeri (PRN) 2020.
Sementara itu, Dr Yusof menyifatkan kehadiran ramai pemimpin lama selain pemimpin sedia ada dalam BN dan GRS pada rumah terbuka itu mengukuhkan lagi perpaduan dalam kalangan pemimpin di negeri ini.
Kehadiran Ismail Sabri juga katanya membawa makna yang besar dalam usaha mengukuhkan hubungan di antara kerajaan negeri dan Pusat sebagai asas untuk berunding mengenai kepentingan Sabah.
-Deasoka