Kota Kinabalu: Seorang lelaki warga emas ditemui meninggal dunia dalam sebuah bilik yang terkunci di bangunan rumah kedai di Jalan Gaya, di sini, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 6 petang itu, mangsa berusia 66 tahun dikatakan disedari rakan serumah yang kemudiannya menghubungi bomba untuk mendapatkan bantuan.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 6.32 petang.
Katanya, sepasukan 10 anggota dan pegawai bersama jentera dan van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (ERMS) dikerahkan bergegas ke lokasi kejadian.
“Sebaik tiba di lokasi, pasukan operasi mendapati seorang mangsa lelaki tidak sedarkan diri terkunci di dalam bilik.
“Pasukan bomba terus bertindak membuka pintu terkunci menggunakan peralatan khas,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.
Menurutnya, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pasukan perubatan yang turut hadir membantu di lokasi kejadian.
Katanya, mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
“Pasukan operasi kemudiannya menjalankan pemeriksaan lanjut bagi memastikan tiada lagi kemerbahayaan lain sebelum operasi ditamatkan pada jam 7.22 malam.
-Deasoka