Buang syabu ke laut

Labuan: Seorang juragan yang dipercayai menjalankan kegiatan pengedaran dadah nekad mencampakkan bungkusan berisi dadah jenis syabu ke laut sebelum memecut melarikan diri ketika cuba ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) di perairan Sipitang, di sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian jam 2.30 pagi itu, bot peronda yang sedang dalam penugasan rondaan Ops Benteng dan Op Khas Pagar Laut 1/2022 di perairan Brunei Bay dan Sipitang mengesan sebuah bot bergerak dalam keadaan mencurigakan.

Bungkusan berisi dadah syabu yang dicampak ke laut oleh seorang juragan di perairan Sipitang.

Pengarah Zon Maritim Labuan, Kepten Maritim Nudin Jusoh berkata, sebaik dihampiri, juragan bot terbabit telah membuang bungkusan ke laut dan terus memecut melarikan diri.

Berikutan itu, katanya, bot peronda mengejar namun terbatas akibat faktor perairan cetak.

“Bot peronda kemudian berpatah balik untuk mengesan bungkusan yang dibuang.

Dadah syabu yang ditemui oleh Maritim Malaysia.

“Hasil pencarian menemukan sebuah bungkusan plastik warna putih yang mengandungi dua peket dadah dipercayai jenis syabu,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Katanya lagi, dadah dengan anggaran berat 49 gram itu dibawa ke Jeti Zon Maritim Labuan untuk disiasat mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952.

Sementara itu, Nudin berkata, komuniti maritim dinasihatkan supaya sentiasa mematuhi undang-undang yang termaktub di dalam perlembangaan bagi mengelak diri daripada terbabit dengan sebarang salah laku di perairan negara.

“Laporkan maklumat berkaitan jenayah maritim ke Pusat Operasi Zon Maritim Labuan di talian 087-427999 atau melalui talian kecemasan MERS 999,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|