Projek jalan raya bernilai RM153 juta dilaksanakan di Pulau Sebatik tahun ini

Tawau: Dua projek membina jalan raya bernilai RM153 juta dijadual dilaksanakan di Pulau Sebatik menerusi peruntukan Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) pada tahun ini.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir khalid, berkata jalan raya terbabit menghubungkan Kampung Sungai Pukul ke Kampung Bergosong dan dari Kampung Sungai Melayu ke Kampung Sungai Pukul.

Mahdzir menyampaikan sumbangan Aidilfitri kepada asnaf ketika lawatannya di Pulau Sebatik, Tawau.

Beliau berkata pembinaan dua jalan raya itu adalah antara tiga projek yang diluluskan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12), termasuk pembinaan Klinik Kesihatan jenis enam di Kampung Sungai Tamang.

“Dua projek jalan raya berkenaan dianggarkan menelan kos sebanyak RM153 juta, manakala Klinik Kesihatan masih belum dimuktamadkan.

Mahdzir mendengar taklimat mengenai pembangunan di Pulau Sebatik.

“Projek itu dapat memberi manfaat kepada lebih 5,000 penduduk di Pulau Sebatik,” katanya ditemui ketika lawatan kerjanya di Pulau Sebatik, di sini hari ini.

Hadir sama Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Jahid Jahim; Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Ariffin dan Pembantu Menteri Belia dan Sukan Sabah, Andi Muhammad Suryady Bandy.

Lawatan itu turut meninjau kemudahan lain di Pulau Sebatik termasuk jeti pendaratan bot penumpang di setiap kampung di pulau berkenaan.

“Kita akan lihat juga sama ada projek menaik taraf jeti pendaratan bot penumpang itu boleh dimasukkan di bawah KPLB.

“Selain itu, banyak lagi perkara yang perlu diambil perhatian di Pulau Sebatik iaitu jalan raya dan bekalan air bersih,” katanya.

Beliau berkata, KPLB dan Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah bersetuju untuk menyelaras projek yang akan dilaksanakan di Pulau Sebatik.

“Saya juga melihat banyak masalah yang berlaku di persempadanan negara terutamanya di Kampung Sungai Aji Kuning.

“Semua masalah di Pulau Sebatik akan dibawa ke peringkat persekutuan dan kementerian yang berkenaan untuk diambil tindakan segera,” katanya.

Mahdzir turut menyampaikan sumbangan Aidilfitri kepada golongan asnaf di Kampung Sungai Laba, Pulau Sebatik.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|