Pelan KSTI 2022-2025 tumpu usaha jadikan Sabah negeri berteknologi tinggi

Kota Kinabalu: Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah (KSTI) semalam melancarkan Pelan Strategik KSTI 2022-2025 ke arah menjadikan Sabah sebuah negeri yang berteknologi tinggi selaras dengan aspirasi Sabah Maju Jaya (SMJ).

Menterinya, Datuk Yakub Khan, ketika menyempurnakan pelancaran pelan berkenaan, berkata ia akan dijadikan sebagai panduan dalam penetapan halatuju kementerian seiring dengan usaha untuk melahirkan masyarakat yang berkemahiran dan berpengetahuan dalam bidang teknologi digital.

Yakub (dua kiri) melancarkan Pelan Strategik KSTI 2022-2025 di Kota Kinabalu.

Selain itu, katanya pelan strategik itu turut disasar untuk melahirkan masyarakat intelek, kreatif dan inovatif melalui perancangan serta pelaksanaan program pembangunan sumber manusia selaras dengan keperluan industri di Sabah.

Pelan Strategik tersebut digubal semasa Bengkel Penetapan Dasar dan Pelan Strategik Kementerian yang diadakan antara 12-15 Januari dengan kerjasama 26 agensi negeri dan persekutuan.

Yakub (tiga kiri) menyampaikan sumbangan kepada pelajar tahfiz sempena Aidilfitri selepas melancarkan Pelan Strategik KSTI 2022-2025 di Kota Kinabalu.

Sesi libat urus selama empat hari itu telah menghasilkan rangka kerja strategik yang merangkumi tiga teras utama, sembilan teras strategik, 25 strategi, 73 program dan 52 bidang hasil.

Beliau berkata, teras pertama pelan berkenaan bermula dengan usaha membangun dan memantapkan ekosistem Sains, Teknologi, Inovasi dan Ekonomi (STIE) di antara agensi kerajaan, akademia, pemain industri dan masyarakat sebagai teras pertamanya.

Katanya, ia kemudian disusuli teras kedua yang menggariskan usaha memacu pembangunan infrastuktur dan teknologi digital ke arah masyarakat kreatif, inovatif serta kompetetif, manakala teras ketiga berkaitan mengurus modal insan yang kompeten dan adaptif dalam bidang Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) melalui aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) dan tadbir urus lestari.

“Dalam merangka pelan strategik ini, kementerian mendapatkan khidmat pakar dan nasihat daripada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Akademi Sains Malaysia (ASM), Universiti Malaysia Sabah (UMS), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Petronas, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Jabatan Tenaga Kerja (JTK), Malaysia Digital Economy (MDec), MyDigital dan lain-lain lagi serta diselia oleh Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC),” katanya.

Hadir sama ialah Pembantu Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi negeri, Datuk Seri Dr Ruddy Awah; Setiausaha Tetap, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Zainudin Aman; Pengerusi ASM, Prof Datuk Dr Asma Ismail; Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Technology Development Corporation (MTDC), Dato Norhalim Yunus; Pengarah Institut Pengajian Islam dan Dakwah Sabah (IPDAS), Mohamad Zamri Mohamed Shapik dan Ketua Pegawai Eksekutif ASM, Hazami Habib.

Bagi sembilan teras strategik, Yakub berkata ia bertujuan untuk meningkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan kepad masyarakat dengan memupuk minat, meningkatkan pengetauan, serta menyumbang kepada pembangunan dan STIE yang sentiasa berkembang.

“Capaian internet akan diperluaskan terutama ke kawasan terpencil agar masyarakat di luar bandar tidak ketinggalan dengan arus kemajuan teknologi dan seterusnya meningkatkan peratusan masyarakat yang celik digital, peningkatan produktiviti dan hasil ekonomi kepada negeri,” katanya.

Beliau berkata, pelbagai program dan inisiatif dirancang dalam Pelan Strategik KSTI 2022-2025 bagi memperkasa program pembudayaan STIE dengan lebih sistematik dan menyeluruh, menyebarluaskan komunikasi STIE, menjadikan STIE sebagai pemboleh daya dalam menangani isu dan cabaran sosio ekonomi di Sabah serta memacu inovasi sosial untuk manfaat masyarakat.

Katanya, program yang dirancang juga akan memudahkan pelaksanaan pembangunan infrastruktur digital di Sabah bagi meningkatkan tahap penggunaan teknologi digital rakyat dan penyampaian perkhidmatan kerajaan yang berteknologi tinggi.

Seterusnya, beliau berkata ia turut disasar dapat memacu penyediaan dana pembangunan modal insan dan memperluaskan liputan pembiayaan latihan untuk pekerja serta memperkasa program pembangunan modal insan secara holistik.

Sempena majlis pelancaran itu, KSTI menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan ASM berkaitan kerjasama meningkatkan taraf hidup rakyat di luar bandar melalui pelaksanaan teknologi ‘smart pole’ dan ‘wireless bridging system’.

Ia sebagai inisiatif untuk menangani masalah internet, menjalankan projek inovasi sosial, menganalisis potensi untuk menjalankan projek Smart Sanitation for Water Settlement dengan penggunaan teknologi ‘Independent Sewerage Treatment Plant’ dan menganalisis Model Blue Economy yang berpotensi dilaksanakan di persekitaran marin Sabah.

Selain itu, KSTI dan ASM juga bekerjasama dalam memupuk minat terhadap bidang Sains, Teknologi dan Matematik (STEM) dalam kalangan pelajar dan masyarakat melalui pelaksanaan program ‘Young Scientist Network’ dan ‘National Science Challenge’ (NSC) peringkat negeri Sabah.

Turut ditandatangani ialah MoU di antara Jabatan Pembangunan Sumber Manusia (JPSM) dan IPDAS serta MoU di antara Pusat Inovasi dan Ekonomi Kreatif Sabah (SCENIC) dan MTDC.

Sempena majlis itu, KSTI turut menyampaikan sumbangan bantuan kepada 35 pelajar tahfiz dan anak yatim untuk menceriakan mereka pada sambutan Hari Raya Aidilfitri yang akan disambut pada awal Mei ini.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|