Tujuh pemandu disyaki mabuk ditahan

Kota Kinabalu: Tujuh pemandu disyaki mabuk ditahan dalam operasi Bahagian Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu di Jalan Lintas, di sini, kelmarin.

Dalam operasi jam 11.30 malam itu, semua pemandu lelaki berusia 20 hingga 47 tahun terbabit dipercayai memandu dalam keadaan paras alkohol melebihi kandungan ditetapkan.

Pemandu yang disyaki mabuk diarahkan menjalani ujian pernafasan bagi mengenalpasti paras kandungan alkohol.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, operasi diketuai Deputi Superintendan Jo Ak Hang, bersama seorang pegawai dan 10 anggota.

Katanya, tujuan operasi ini adalah bagi memastikan pengguna jalan raya tidak memandu semasa dibawah pengaruh alkohol kerana ianya membahayakan pengguna jalan raya yang lain serta pemandu itu sendiri.

Operasi dijalankan Bahagian Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu di Jalan Lintas, di sini.

“Dalam operasi ini, tujuh pemandu ditahan dan dibawa ke IPD untuk tindakan lanjut kerana disyaki memandu dibawah pengaruh alkohol.

“Hasil ujian pernafasan menggunakan alat EBA II (Evidential Breath Analyzer) mendapati, semua suspek positif alkohol di mana kandungan alkohol adalah sekitar 50 hingga 166 mikrogram dalam 100 mililiter nafas masing-masing,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Mohd Zaidi berkata, semua suspek disiasat mengikut Seksyen 45A(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana memandu kenderaan motor dengan kepekatan alkohol melebihi had yang ditetapkan.

Katanya, jika sabit kesalahan, mereka boleh dihukum penjara selama tempoh tidak melebihi dua tahun dan denda tidak kurang RM10,000 dan tidak melebihi RM30,000.

“Pesalah juga akan hilang kelayakan lesen memandu selama tempoh tidak kurang dari dua tahun.

“Manakala bagi kesalahan kali kedua atau seterusnya, hukuman lebih berat akan dikenakan iaitu penjara selama tempoh tidak melebihi lima tahun dan denda tidak kurang RM20,000 serta tidak lebih RM50,000z

“Mereka juga boleh hilang kelayakan lesen memandu selama tempoh tidak kurang daripada lima tahun,” katanya.

Sementara itu, Mohd Zaidi berkata, dalam operasi sama, sebanyak 15 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan antaranya, tiada lesen memandu, LKM tamat tempoh, tidak memakai tali pinggang keledar, ubahsuai ekzos dan nombor flat tidak mengikut speksifikasi.

Katanya, operasi ini akan dijalankan dari semasa ke semasa dalam usaha mengurangkan potensi kemalangan jalan raya disebabkan pemanduan di bawah pengaruh alkohol.

“Pengguna jalan raya dinasihatkan supaya tidak memandu semasa berada dibawah pengaruh alkohol.

“Ia akan mendatangkan bahaya bukan saja kepada pengguna jalan raya yang lain tetapi juga nyawa pemandu itu sendiri,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|