Buat kad pengenalan untuk warga asing, wanita dihukum penjara

Buat kad pengenalan untuk warga asing, wanita dihukum penjara

SEMPORNA: Seorang wanita dijatuhkan hukuman penjara tiga tahun setelah didapati bersalah memberikan memberi maklumat palsu untuk mendapatkan kad pengenalan menggunakan sijil lahir anaknya yang sudah meninggal.

Majistret Mahkamah Semporna, Don Stiwin Malanjum menjatuhkan hukuman tersebut ke atas Sitti Jalminah Biddarin,56 setelah terbukti bersalah memberi maklumat palsu kepada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Pegawai Pendakwa JPN, Nurul Fariza Abdullah dalam pertuduhannya menegaskan kesalahan yang dilakukan oleh tertuduh amat serius dan boleh menganggu gugat kedaulatan negara.

“Ini adalah kesalahan yang agak serius kerana cubaan memberi dan menganjur seorang berstatus bukan warganegara untuk menggunakan sijil lahir bagi tujuan mendapatkan kad pengenalan dan hukuman maksimum perlu dikenakan bagi menjadi pengajaran kepada orang ramai di luar sana agar tidak berani mencuba melakukan kesalahan seperti ini,” katanya.

Berdasarkan fakta kes, pada 16.05.2024 jam lebih kurang 2:35 petang, Pegawai Penguatkuasa JPN telah menahan dan menangkap tertuduh di JPN Daerah Semporna.

Tertuduh telah hadir memberikan keterangan dan didapati telah memberi maklumat palsu sebagai penganjur (penjamin) iaitu ibu semasa membuat permohonan kad pengenalan atas nama anaknya , Norwatim Binti Budlain pejabat di JPN Semporna, pada 15 Disember 2014 jam 11:23 pagi yang didapati bukan anak kandungnya.

Hasil siasatan lanjut mendapati anak kandungnya yang sebenar telah meninggal dunia semasa berumur lebih kurang 6 bulan dan Kematian tersebut tidak didaftarkan.

Tertuduh didapati telah melalukan kesalahan di bawah Undang-Undang Jabatan Pendaftaran Negara Peraturan-Peraturan Pendaftaran 1990 (Pindaan 2007 dan jika sabit kesalahan boleh dijatuhkan hukuman penjara tidak lebih 3 tahun dan denda RM 20,000 atau keduanya sekali.

Dalam perkembangan lain, dua hari lalu di Sandakan seorang peniaga wanita mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Sandakan atas dua pertuduhan memberikan maklumat palsu bagi mendaftarkan kad pengenalan dua lelaki yang juga jirannya tahun lepas.

Majistret Nur Faezah Jafry menjatuhkan hukuman penjara tujuh bulan kepada Ramla Lampeh, 49, bagi setiap pertuduhan bermula tarikh ditahan 10 Mei lepas dan memerintahkan hukuman berjalan serentak.

Nur Faezah juga menjatuhkan hukuman denda RM2,000 untuk pertuduhan pertama dan tambahan tiga bulan penjara sekiranya gagal membayar denda tersebut.

Ramla dalam dua pertuduhan itu didakwa memberikan maklumat palsu sebagai penganjur iaitu mengakui dirinya sebagai ‘ibu’ bagi mendaftarkan kad pengenalan, masing-masing atas nama Mohammad Firman Rahman, 22, dan Mohammad Luqman Rahman, 20.

Menurut fakta kes, tindakan itu dilakukan bagi melangsaikan hutang kepada peminjam wang dan Ramla didakwa melakukan kesalahan itu di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Sandakan, masing-masing pada 12.35 tengah hari dan 12.45 tengah hari, pada 15 Februari tahun lalu.

Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|