Cubaan seludup kambing, lembu gagal

Cubaan seludup kambing, lembu gagal

KUDAT: Hasrat tiga sekawan untuk menikmati hasil seludup lapan ekor ternakan akhirnya memakan diri selepas mereka dicekup Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kudat dalam kejadian di Tanjung Pulun Batu, Balambangan, Kudat, semalam.

Dalam kejadian jam 12.27 pagi, ketiga-tiga suspek berusia antara 46 hingga 54 tahun itu ditahan manakala sebuah bot, empat ekor lembu, empat ekor kambing yang dianggarkan bernilai lebih RM35,000 turut dirampas untuk tindakan lanjut.

Pengarah Zon Maritim Kudat, Komander Maritim Maurice Grenville Abeyeratne berkata ketika kejadian, pihaknya sedang melaksanakan rondaan rutin sebelum berjaya mengesan bot dinaiki suspek yang dalam keadaan mencurigakan.

“Melalui pemeriksaan yang dilakukan, tiga individu didapati berada di dalam bot berkenaan merupakan seorang warga tempatan manakala dua orang lagi warga Filipina berumur lingkungan 46 hingga 54 tahun.

“Hasil pemeriksaan mendapatii seorang daripadanya tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri yang sah manakala seorang lagi memiliki dokumen pengenalan diri yang meragukan.

“Pemeriksaan lanjut juga telah menemui empat ekor kambing dan juga empat ekor lembu hidup di dalam bot berkenaan yang dibawa tanpa permit sah daripada pihak berkuasa dipercayai dibawa untuk tujuan pasaran,” katanya.

Kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Akta Imigresen 1959/63, Enakmen Haiwan 2015 dan Enakmen Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah 2002 kerana tidak memiliki Lesen Bot.

Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|