SANDAKAN: Dalam usaha membantu golongan pelajar untuk bekerja dalam pelbagai bidang pekerjaan, Politeknik Sandakan Sabah (PSS) melancarkan Pusat Satelit MyFuture Jobs dengan kerjasama PERKESO Sandakan.
Melalui pusat itu, pelajar dapat didedahkan dengan portal MyFuture Jobs sekali gus membantu mereka mendaftar dan memilih kesesuaian jawatan yang ditawarkan.
Bercakap kepada pemberita semasa sidang media, Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Ts. Mustapha Sakmud optimis usaha murni ini sudah pasti menyumbang kepada peratusan graduan bekerja dalam bidang kerjaya masing-masing.
“Kita telah berkolaborasi dengan pihak Perkeso untuk menjadikan Politeknik Sandakan ini sebagai satelit, pejabat satelit untuk kerjaya .. jadi maknanya Politeknik Sandakan ini boleh dijadikan sebagai lokasi untuk pelajar-pelajar kita atau daripada poli ini dan juga yang lain untuk datang dan mendapatkan maklumat tentang apa kerjaya-kerjaya yang ditawarkan dalam MyFuture Jobs yang dikendalikan oleh Perkeso,” katanya.
Beliau ditemui selepas merasmikan Ekspo Kerjaya TVET PSS 1.0 di perkarangan PSS, Batu 10, Jalan Sungai Batang, Sandakan pada Khamis.Dalam pada itu, Mustapha berkata dasar Pendidikan Tinggi sentiasa ditambahbaik bagi memastikan Kementeriannya menjayakan kerangka Ekonomi Madani berteraskan lima fokus utama selari dalam Pelan Strategik Pendidikan Tinggi Malaysia 2023 – 2025.
Menurutnya, tumpuan utama yang diberi perhatian soal penyediaan bakat, penyelidikan dan inovasi, menggalakkan perkongsian ilmu khususnya sektor pendidikan dan ekosistem pembolehdaya TVET.
Sehubungan itu, katanya Politeknik Sandakan Sabah berperanan melatih dan melahirkan bakat dalam bidang Agroteknologi dan Teknologi Akuakultur sekali gus menjadikannya penjana tenaga kerja dalam memenuhi keperluan industri.
“Di Borneo ini hanya satu saja Politeknik yang menawarkan kursus-kursus sebegini jadi memang dari segi potensi, memang amat baik dan pada masa yang sama juga kita ada Universiti Malaysia Sabah yang juga memfokuskan tentang pertanian ini industri pertanian dan keterjaminan makanan ini .. jadi maknanya, Politeknik ini sebagai asas laa untuk membina pelajar-pelajar ini,” jelasnya.
Mengulas lanjut, katanya kebolehpasaran graduan yang lahir daripada Politeknik hampir 99 % mendapat pekerjaaan maka ibubapa terutama di Sandakan dan sekitarnya digalakkan supaya menghantar anak-anak mereka untuk belajar di institusi itu.Sepanjang tiga hari ekspo berkenaan, antara pengisian menarik ialah pameran kerjaya, ceramah kerjaya, sesi dialog bersama Alumni dan Industri serta majlis menandatangani kerjasama bagi rakan kolaborasi baru PSS.
Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Manila, Datuk Mokran Ingkat dan Pengarah PSS, Mohd Sani Said.
Deasoka