Papar: Seorang pemandu pacuan empat roda maut selepas kenderaannya bertembung dengan sebuah lori 10 tan dalam kejadian di Jalan Papar Lama-Kota Kinabalu, di sini, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 7.30 pagi itu, mangsa lelaki yang berusia 30 tahun disahkan maut di lokasi kejadian selepas tersepit di tempat duduk pemandu kenderaan Mitsubishi Triton.
Pemangku Ketua Polis Daerah Papar, Asisten Superintendan Rosli Rasi berkata, siasatan awal mendapati, mangsa bergerak dari arah Papar menuju ke Kota Kinabalu.
Bagaimanapun katanya, sebaik tiba di lokasi kejadian, mangsa dipercayai terlelap dan kenderaannya terus tersasar ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan lori yang membawa muatan pasir berkenaan.
“Akibat perlanggaran berkenaan, kenderaan remuk di bahagian hadapan dan mangsa juga tersepit di tempat duduk pemandu.
“Mangsa yang mengalami kecederaan serius kemudiannya berjaya dikeluarkan sebelum disahkan meninggal dunia oleh pembantu pegawai perubatan Hospital Papar,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.
Rosli berkata, siasatan masih diteruskan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Sementara itu, Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 7.16 pagi.
Katanya, sepasukan sembilan anggota dan pegawai bersama jentera serta van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (ERMS) dikerahkan bergegas ke lokasi kejadian.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian, pasukan JBPM terus melakukan operasi khas mengeluarkan mangsa menggunakan ‘Rescue Tools RTA’.
“Mangsa yang berjaya dikeluarkan kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya selepas disahkan meninggal dunia,” katanya.
Menurutnya, pasukan bomba kemudiannya membuat pemeriksaan lanjut bagi memastikan tiada kemerbahayaan lain sebelum operasi ditamatkan pada jam 8.28 pagi.
-Deasoka