Kota Kinabalu: Pendekatan mendidik yang dilaksanakan penguatkuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) kepada umat Islam dilihat lebih berkesan apabila tiada sebarang tangkapan dibuat sepanjang Ramadan bagi individu yang tidak berpuasa atau makan di khalayak ramai di negeri ini.
Pengarah JHEAINS, Datuk Saifulzaman Sangul berkata, pendekatan yang diambil itu lebih kepada mendidik di samping penguatkuasana turut dilakukan bagi memantau sepanjang Ramadan ini.
“Alhamdulillah kerana usaha mendidik telah dibuat lebih awal lagi berhubung kewajipan berpuasa pada bulan Ramadan dan kita menjadikan medium pendidikan di masjid-masjid untuk mengajar umat Islam berpuasa dengan cara yang betul selain menghormati bulan Ramadan.
“Saya juga berbangga bukan setakat orang Islam yang menghormati tetapi juga restoran-restoran itu sendiri sedar perlunya menghormati bulan Ramadan di mana apabila ada pelanggan memasuki restoran akan ditanya sama ada beragama Islam atau sebaliknya. Itu teras perpaduan kita,” katanya pada sidang media di sini, semalam.
Beliau berkata demikian ketika ditanya berhubung tindakan yang dilakukan JHEAINS jika terdapat individu beragama Islam yang tidak berpuasa dan makan di khalayak ramai selepas Ramadan memasuki minggu ketiga.
Beliau bagaimanapun mengakui memang ada teguran telah dibuat namun sehingga kini belum ada tangkapan dilakukan membabitkan individu yang sengaja makan di khalayak ramai.
“Setakat ini, Alhamdulillah, kita arahkan penguatkuasa turun padan memantau dan ada juga beberapa orang yang kita tegur iaitu berkaitan umat Islam supaya menghormati bulan Ramadan tetapi tiada tangkapan dilakukan,” katanya.
-Deasoka