Belum ada petunjuk dua pemancing hilang

Belum ada petunjuk dua pemancing hilang

Semporna: Operasi mencari dan menyelamat dua pemancing yang hilang sejak Sabtu lalu, di perairan Pulau Mataking, di sini, memasuki hari ketiga, hari ini.

Bagaimanapun sehingga kini, pasukan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) masih belum ada sebarang petunjuk positif.

Pasukan operasi menjalankan pemantauan di laut untuk mencari dua mangsa yang hilang selepas keluar memancing di Pulau Mataking, di sini. Pix Ihsan Maritim Malaysia

Dalam kenyataan yang dikeluarkan Maritim Malaysia hari ini berkata, operasi pencarian membabitkan lapan bot dan kapal serta sebuah pesawat.

Katanya, kawasan pencarian dibahagikan kepada tujuh sektor dengan keluasan 269 batu nautika persegi di kawasan sekitar mangsa dipercayai hilang.

Kawasan pencarian dibahagikan kepada tujuh sektor dengan keluasan 269 batu nautika persegi di kawasan sekitar mangsa dipercayai hilang.

“Operasi berdepan sedikit kesukaran berikutan keadaan cuaca di kawasan pencarian dilanda ribut petir di beberapa tempat.

“Selain itu, keadaan angin juga kencang dengan kelajuan 40 hingga 50 kilometer sejam dan ketinggian ombak mencecah sehingga 3.5 meter,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Menurutnya, operasi turut dibantu Pasukan Polis Marin (PPM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malysia (JBPM) dan pasukan Taman-Taman Sabah (TTS).

Katanya, setakat jam 1 petang hari ini, semua pasukan dan aset yang terbabit belum memaklumkan sebarang penemuan positif.

Sehubungan itu, Maritim Malaysia meminta orang ramai terutamanya komuniti laut supaya segera memaklumkan kepada Maritim Malaysia sekiranya ternampak mangsa atau petunjuk berkaitan.

Bagaimanapun katanya, orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa berhati-hati dan mengutamakan keselamatan ketika berada di laut.

Dalam kejadian Sabtu lalu, dua pemancing dikenali sebagai Makbul dan Azip Kiram dikatakan keluar memancing, namun sehingga kini masih belum pulang.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|