Sabah terima pelaburan RM4.3 bilion

Sabah terima pelaburan RM4.3 bilion

Kota Kinabalu: Sabah bakal menerima pelaburan lebih RM4.3 bilion menerusi kerjasama pembangunan berkaitan industri herba, tenaga solar dan pembinaan pusat komersial serta kediaman mewah yang dijangka dilaksanakan pada tahun ini.

Ia membabitkan tiga projek pelaburan yang dilaksanakan secara usahasama di antara kerajaan negeri dan syarikat berkaitan kerajaan negeri (GLC) dengan syarikat pelabur tempatan serta luar negara.

Hajiji (tengah) menyaksikan majlis menandatangani MoU di antara kerajaan negeri dan BorneoMed Sdn Bhd.

Memorandum persefahaman (MoU) bagi ketiga-tiga projek pelaburan itu dimeterai hari ini di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) sempena Sidang Kemuncak Ekonomi dan Perniagaan Antarabangsa Sabah (SIBES) 2022 dengan disaksikan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.

Projek pertama membabitkan pelaburan RM350 juta bagi pembangunan Ladang Herba Bersepadu (SIHP) yang diusahakan menerusi kerjasama Kementerian Pertanian dan Perikanan negeri dengan syarikat BorneoMed Sdn Bhd.

Hajiji (berdiri dua dari kiri) menyaksikan majlis menandatangani MoU di antara Yayasan Sabah dan Pavilion Kota Kinabalu Sdn Bhd bagi pembangunan Pavilion Harbour City.

Pelaburan BorneoMed dalam projek itu merangkumi penggunaan teknologi komersial seperti bahan penanaman, teknologi penanaman berketumpatan dan hasil tinggi, sistem Internet Perkara (IOT), pendigitalan pertanian pintar, peralatan pemprosesan komersial, sistem pergudangan dan prasarana serta kemudahan lain.

MoU bagi projek itu ditandatangani Setiausaha Tetap Kementerian Pertanian dan Perikanan, Datuk Dr Mariana Tinggal dengan disaksikan Peguam Besar Negeri, Datuk Nor Asiah Mohd Yusof, manakala BorneoMed diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ahmad Fauzi dan disaksikan PengarahEksekutif syarikat, Francis Sina.

Sementara itu, MoU kedua berkaitan pelaburan membangunkan kilang memproses pasir silika dan menghasilkan panel solar dengan nilai pelaburan permulaan sebanyak RM2 billion dimeterai di antara Kementerian Pembangunan Perindustrian Sabah dengan pelabur dari China, SBH Kibing Solar New Materials (M) Sdn Bhd.

MoU bagi projek itu ditandatangani Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Perindustrian Sabah, Thomas Logijin dengan Nor Asiah sebagai saksi, manakala SBH Kibing diwakili Presidennya, Lin Hai dengan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Yao Xin Xi sebagai saksi.

Projek pemprosesan pasir silika dan pembuatan panel solar itu yang akan dibina sama ada di Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP) atau Taman Industri Minyak dan Gas Sipitang (SOGIP) disasar menjana lebih 2,000 peluang pekerjaan dengan 80 peratus daipadanya dikhaskan untuk pekerja tempatan dan dijangka mula beroperasi pada 2024.

MoU ketiga pula dimeterai di antara Yayasan Sabah selaku cabang pelaburan kerajaan negeri dengan syarikat Pavilion Kota Kinabalu Sdn Bhd bagi pembangunan Pavilion Harbour City dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM2 bilion.

Majlis menandatangan MoU disempurnakan Pengarah Yayasan Sabah, Datuk Gulam Haidar Khan Bahadar dengan disaksikan Setiausaha Korporat Yayasan Sabah, Hanafiah Diman, manakala Pavilion Kota Kinabalu Sdn Bhd diwakili Pengarahnya, Jameson Pias dan disaksikan Pengurus Besarnya, Timmy Gan Ve Li.

Projek itu meliputi kawasan laut seluas 12.14 hektar (30 ekar) bersebelahan SICC dan dijadual siap dalam tempoh 10 tahun.

Pavilion Harbour City merangkumi pembinaan bangunan kediaman, restoran tepi laut, pasar nelayan dan hotel mewah untuk penginapan, peranginan serta aktiviti rekreasi.

Ia dijangka menjana kira-kira 1,000 peluang pekerjaan sepanjang tempoh pembinaan, manakala 2,000 peluang pekerjaan setelah pembangunan selesai kelak.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|