LPKP didesak laksanakan ‘geo fencing’ terhadap perkhidmatan e-hailing di KKIA

LPKP didesak laksanakan ‘geo fencing’ terhadap perkhidmatan e-hailing di KKIA

Kota Kinabalu: Persatuan Limousin dan Teksi Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) menggesa Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) dan pihak berwajib supaya menguatkuasakan ‘geo fencing’ atau halangan terhadap pengendali perkhidmatan e-hailing.

Pengerusinya, Shamsuddin Mohd Shah berkata ia selaras keputusan mengikut surat pemakluman akta yang dikeluarkan berdasarkan persetujuan sebelum ini mengenai tindakan mewujudkan ‘geo fencing’ bagi mengelakkan pemandu perkhidmatan e-hailing menunggu di kawasan KKIA untuk mengambil penumpang.

Katanya, semua ahli persatuan itu amat kecewa berikutan tiada sebarang tindakan diambil oleh agensi terbabit walaupun keputusan yang dibuat itu membabitkan kerajaan negeri dan pihak berkuasa yang berkaitan.

Beliau berkata, mereka hanya diberikan janji demi janji tetapi ternyata pemandu e-hailing masih berleluasa di KKIA sehingga menggugat pendapatan pemandu teksi KKIA.

“Sampai bila kami harus diperlakukan seperti ini, aduan demi aduan dibuat tetapi tiada tindakan walaupun perkara itu sudah dipersetujui pelbagai pihak termasuk mendapat sokongan kerajaan negeri.

“Ada dakwaan mengatakan harga tambang teksi limousin KKIA mahal berbanding perkhidmatan e-hailing, tapi harga ini bukan kami tentukan, kerajaan yang tentukan,” katanya pada sidang media yang diadakan di KKIA, hari ini.

Shamsuddin berkata, pihaknya mempunyai bukti kukuh termasuk minit mesyuarat yang jelas mengatakan perkhidmatan e-hailing tidak dibenarkan menungggu pelanggan di KKIA.

Katanya, pihaknya amat kecewa dengan Pengerusi LPKP Sabah, Datuk Chin Kim Hung yang jelas gagal membantu mereka.

“Mana keadilan untuk kami? Teksi diberikan kuota untuk beroperasi namun ia tidak dilaksanakan kepada perkhidmatan e-hailing.

“Kami juga membantah sekeras-keras jika LPKP membenarkan teksi bandar raya untuk masuk beroperasi di KKIA, sedangkan pengusaha teksi di sini pun sudah cukup tertekan dengan keadaan ketika ini, mengapa mahu benarkan lagi pihak untuk menutup mata pencarian kami,” katanya.

Shamsuddin berkata, perkhidmatan e-hailing sepatutnya hanya dibenarkan beroperasi di KKIA berdasarkan tempahan menerusi aplikasi.

Katanya, mengikut kepada akta mereka tidak dibenarkan menunggu atau berpangkalan di terminal KKIA.

“Namun sehingga kini, ia tidak dipatuhi oleh syarikat e-hailing dan terus berleluasa beroperasi di KKIA.

“Kami mahu keputusan ‘geo fencing’ dilaksanakan secepat mungkin,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|