Siasat latar belakang Ketua MIC Sabah – PBS

Siasat latar belakang Ketua MIC Sabah – PBS

Penampang: Parti Bersatu Sabah (PBS) meminta pihak berkuasa menyiasat latar belakang Ketua MIC Sabah, Peer Mohamad Kadir yang didakwa mendapat dokumen pengenalan diri secara haram.

Presidennya, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili berkata, perkara itu penting memandangkan PBS komited untuk membersihkan Sabah daripada pendatang asing tanpa izin (PATI).

“Kami percaya negeri dan negara ini secara keseluruhannya adalah milik rakyat Malaysia yang tulen.

“PBS khuatir terhadap dakwaan bahawa beliau (Peer) masuk ke Sabah dari India pada 1984 dan memperolehi kad pengenalan enam tahun kemudian melalui cara yang meragukan,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tertinggi PBS yang pertama untuk tahun ini, di sini, hari ini.

Beliau yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) berkata, pergerakan Pemuda PBS akan membuat laporan polis berhubung perkara itu dalam masa terdekat.

“Kami berharap siasatan akan membuka Kotak Pandora secara keseluruhan. Kami ingin tahu bagaimana beliau boleh mendapat kewarganegaraannya serta maklumat-maklumat lain, agar tindakan sewajarnya boleh diambil terhadapnya,” katanya.

Beliau percaya perkara itu akan dapat menyelesaikan beberapa perkara terutama kelemahan pihak Jabatan Imigresen dan kelemahan lain yang menyebabkan kehadiran ramai PATI di Sabah.

“Kami menerima komitmen Jabatan Imigresen Sabah untuk bekerjasama dengan kerajaan Sabah bagi mencari penyelesaian kepada kelemahan pintu masuk Imigresen di antara Terminal Feri Labuan – Menumbok dan Jesselton Point.

“Melindungi kedaulatan negeri dan negara kita juga termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63). Mari kita lakukan ini untuk kebaikan rakyat tulen,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|