Covid-19 Sabah: Pelajar SMK Ranau cetus Kluster Puri Ranau

Covid-19 Sabah: Pelajar SMK Ranau cetus Kluster Puri Ranau

Kota Kinabalu: Satu lagi kluster berkaitan institusi pendidikan dilaporkan di daerah Ranau yang membabitkan kes indeks seorang pelajar perempuan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ranau.

Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun, berkata pelajar berumur 19 tahun itu dikesan positif Covid-19 selepas menjalani ujian kendiri kerana bergejala sebelum mencetuskan Kluster Puri Ranau.

“Ujian pengesahan Covid-19 telah dijalankan di mana kes didapati positif. Saringan terhadap rakan sekelas dan sebilik kes telah dijalankan dan enam orang lagi didapati positif.

“Kesemua pelajar perempuan berkenaan berada dalam Kategori 1 dan 2 sahaja dan telah diasing serta diberi rawatan yang sesuai,” katanya dalam kenyataan petang ini.

Semua tujuh kes yang dilaporkan dalam kluster itu setakat ini direkodkan pada hari ini.

Sementara itu, Masidi berkata jumlah kes harian pada hari ini kembali melepasi angka 200 dengan 201 kes baharu, pertambahan sebanyak 38 kes berbanding semalam.

“Terdapat sembilan daerah mencatat kes dua angka dengan Kota Kinabalu (42 kes) dan Tuaran (37 kes) melepasi paras 20 kes.

“Sebanyak 10 daerah merekodkan kes satu angka dan lapan daerah tidak merekodkan sebarang kes baharu,” katanya.

Beliau berkata, empat daerah mencatat peningkatan dua angka iaitu Tuaran, bertambah 31 kes, diikuti Tawau bertambah 12 kes, Tambunan bertambah 12 kes dan Sandakan bertambah sebanyak 11 kes.

Katanya, daerah yang mencatat penurunan dua angka pula ialah Penampang (-16 kes), Putatan (-13 kes) dan Ranau (-10 kes), manakala tiga daerah kekal sebagaimana catatan semalam.

Sementara itu, katanya sebanyak 196 daripada 201 kes baharu hari ini berada dalam Kategori 1 dan 2, empat kes dalam Kategori 3 dan satu kes lagi dalam Kategori 4.

Statistik Covid-19 Sabah mengikut daerah:

Covid Update 18 Januari 2022
Sabah 201 (163)

Kota Kinabalu 42 (50)
Tuaran 37 (6)
Penampang 18 (34)
Sandakan 14 (3)
Tawau 14 (2)
Keningau 13 (7)
Tambunan 12 (0)
Ranau 10 (20)
Kota Marudu 10 (5)
Beluran 6 (0)
Tenom 5 (1)
Kuala Penyu 4 (0)
Papar 4 (7)
Sipitang 3 (2)
Telupid 2 (0)
Lahad Datu 2 (1)
Beaufort 2 (2)
Kalabakan 2 (1)
Kota Belud 1 (4)
Semporna 0 (2)
Kinabatangan 0 (1)
Kunak 0 (1)
Nabawan 0 (0)
Pitas 0 (0)
Tongod 0 (0)
Putatan 0 (13)
Kudat 0 (1)

Angka dalam kurungan adalah jumlah kes 17 Januari 2022

Kluster Baharu
Kluster Puri Ranau
Ranau, 7 (+7)
(Kluster Institusi Pendidikan)

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|