Kota Kinabalu: Kerajaan negeri akan menyiasat laporan mengenai Ketua MIC Sabah, Peer Mohamad Kadir yang didakwa mendapat dokumen pengenalan diri secara haram.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata beliau mengetahui berhubung dakwaan itu melalui media sosial tetapi tidak mempunyai maklumat lanjut mengenainya.
Beliau turut mengesahkan bahawa Peer Mohamad adalah orang sama yang dikaitkan dengan Ahli Lembaga Pengarah Sawit Kinabalu, iaitu syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri.
“Kita akan siasat perkara itu. Sayapun belum dapat maklumat lanjut tetapi nama yang disebut Ahli Lembaga Pengarah Sawit Kinabalu itu adalah Pengerui MIC Sabah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditanya pemberita selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) tiga usaha sama pelaburan di antara kerajaan negeri dan Yayasan Sabah dengan syarikat tempatan serta luar negara di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), hari ini.
Sebelum ini, beberapa pihak mempersoalkan sama ada Peer Mohamad yang dilantik menganggotai Lembaga Pengarah Sawit Kinabalu adalah individu sama didakwa datang dari India ke Sabah pada awal 1980-an sebelum mendapat kewarganegaraan secara tidak sah enam tahun kemudian.
Dalam satu kenyataan hari ini, Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Seri Dr Maximus Ongkili, turut meminta pihak berkuasa menyiasat latar belakang Peer Mohamad sama ada dakwaan terhadapnya benar atau sebaliknya.
Katanya, perkara itu penting memandangkan PBS komited untuk membersihkan Sabah daripada pendatang asing tanpa izin (PATI).
“PBS khuatir terhadap dakwaan bahawa beliau (Peer Mohamad) masuk ke Sabah dari India pada 1984 dan memperolehi kad pengenalan enam tahun kemudian melalui cara yang meragukan,” katanya.
Beliau yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) berkata, pergerakan Pemuda PBS akan membuat laporan polis berhubung perkara itu dalam masa terdekat.
-Deasoka