Kerajaan ada halatuju jelas bangunkan Sabah – Hajiji

Kerajaan ada halatuju jelas bangunkan Sabah – Hajiji

Kota Kinabalu: Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mempunyai halatuju yang jelas dalam usaha membangunkan Sabah setelah mengambil alih kerajaan negeri lebih setahun yang lalu.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata Sabah mempunyai kekayaan sumber alam dan tanah yang luas untuk diusahakan bagi membangunkan ekonominya.

“Setelah satu tahun empat bulan saya menjadi Ketua Menteri, saya mempunyai satu halatuju yang jelas untuk memastikan bahawa negeri Sabah ini akan terus membangun.

“Ini kerana kita mempunyai sumber alam yang banyak dan tanah yang luas, jadi kita boleh membangunkan ekonomi kita dan memberi peluang pekerjaan kepada rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) tiga usaha sama pelaburan di antara kerajaan negeri dan Yayasan Sabah dengan syarikat tempatan serta luar negara di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, hari ini.

Majlis itu bersempena Sidang Kemuncak Ekonomi dan Perniagaan Antarabangsa Sabah (SIBES) 2022 yang berlangsung selama dua hari bermula semalam di SICC.

Hajiji yang juga Menteri Kewangan negeri, berkata tiga sektor utama iaitu pertanian, perindustrian dan pelancongan menjadi tumpuan dalam usaha pembangunan ekonomi dan menjana peluang pekerjaan.

Beliau berkata, atas sebab itulah kerajaan berpendapat SIBES 2022 yang disertai pemain industri dari dalam dan luar negara dapat menarik lebih ramai pelabur untuk datang melabur ke negeri ini.

“Dalam perbincangan yang diadakan selama dua hari ini, kita menyatakan kepada mereka apa yang kita boleh tawarkan kepada pelabur asing, temasuklah pelabur dari dalam negeri kita untuk sama-sama mencari jalan membuat pelaburan atau pembangunan di Sabah,” katanya.

Beliau turut menyatakan keyakinannya terhadap usaha yang diambil kerajaan termasuk menarik sebanyak mungkin pelaburan yang dapat memberi kesan positif kepada ekonomi Sabah.

Katanya, usaha itu turut mengambil kira komitmen kerajaan dalam mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan di negeri ini agar rakyat Sabah tidak perlu lagi keluar ke negeri lain atau luar negara untuk bekerja.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|