Tommy Lai masih diburu polis

Tommy Lai masih diburu polis

Lahad Datu: Seorang lelaki yang dikehendaki polis selepas mengeluarkan kenyataan menghina bekas Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal sejak tahun lalu masih diburu polis.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Rohan Shah Ahmad berkata, suspek yang menggunakan nama ‘Tommy Lai’ mengeluarkan kenyataan berkenaan menerusi laman sosial Facebook.

Katanya, kenyataan berkenaan yang berbunyi “fenomena terbaru!!… kalo muka pantarnak PATI mimang mirip seiras muka pantarnak… buahahahahahah!!” dimuat naik di laman Facebook milik suspek secara umum dan mendapat komen daripada pelbagai pihak.

“Kenyataan itu jelas menunjukkan individu berkenaan menghina Ketua Menteri Sabah.

“Hal ini akan menjejaskan kredibiliti pemimpin berkenaan dan status itu juga jelas menghina serta menjatuhkan maruah Ketua Menteri Sabah ketika itu,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Menurutnya, suspek dikehendaki mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Seksyen 500 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu turut mencari tujuh individu hilang membabitkan satu kes yang dilaporkan berlaku 23 November tahun lalu.

Polis mencari tujuh individu yang hilang di Lahad Datu.

Rohan berkata, kes itu berkaitan pasangan suami isteri warga asing berusia 32 dan 39 tahun yang dikenali sebagai Shahidullah Gul Bacha dan Jasmin Harin.

Katanya, lima lagi orang hilang yang turut dicari ialah Safina Latud (42 tahun) Mok Mei Mui (61), Jupry Jamaluddin (38) dan Razsiza Razes, 16 tahun.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung semua individu ini diminta supaya membantu menyalurkan maklumat kepada polis.

“Maklumat boleh disalurkan ke balai polis berhampiran atau menghubungi IPD Lahad Datu ditalian 089-881255,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|