Pelabur Itali mula cari peluang pelaburan di Sabah

Pelabur Itali mula cari peluang pelaburan di Sabah

Kota Kinabalu: Pelabur dan pemain industri dari Itali mula mencari peluang pelaburan di negeri ini.

Ia susulan kunjungan Duta Itali ke Malaysia, Massimo Rustico yang menyatakan Sabah mempunyai banyak peluang pelaburan boleh dibangunkan.

Massimo menyampaikan cenderamata kepada Juhar, di Istana Seri Kinabalu, Kota Kinabalu.

“Sabah adalah sebuah negeri yang berpotensi untuk pelaburan usahawan dan pemain industri.

“Pada asasnya pelabur dari Itali telah melabur di Malaysia, namun kebanyakan di Semenanjung,” katanya ketika kunjungan hormat terhadap Yang di-Pertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin di Istana Seri Kinabalu, hari ini.

Beliau yang teruja dengan pelaburan di negeri ini berkata akan terus komited mempromosikan Sabah kepada pelabur yang lain.

“Ini masanya yang terbaik untuk kita meneroka peluang pelaburan di Sabah.

“Saya teruja dengan penglibatan kerajaan negeri khususnya dalam usaha menarik pelabur asing untuk melabur di negeri ini. Kami akan mempromosikan Sabah kepada pelabur dari Itali untuk melabur di Sabah.

“Ini adalah sebagai permulaan kepada pelabur dari Itali dan kita mengharapkan agar usaha ini akan memberikan manfaat kepada kita semua,” katanya.

Terdahulu, Massimo turut memuji usaha kerajaan negeri menganjurkan Sidang Kemuncak Ekonomi dan Perniagaan Antarabangsa Sabah (SIBES) 2022 bagi meyakinkan pelabur untuk datang melabur ke Sabah.

Lee (kiri) ketika sesi kunjungan hormat terhadap Juhar di Istana Seri Kinabalu, Kota Kinabalu.

Sementara itu, dalam kunjungan hormat berasingan oleh Duta Republik Korea Selatan, Lee Chi-Beom bersama delegasi berharap kerajaan Sabah akan menerima pelabur khususnya dalam bidang industri, selain aktiviti pelancongan.

Pelancongan antara aktiviti ekonomi terbesar Korea Selatan di Sabah di mana pada 2019, sekitar 400,000 pelancong negara itu datang ke Sabah.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|