Kota Kinabalu: Golongan wanita terutama yang terjejas akibat pandemik Covid-19 sentiasa mendapat perhatian daripada kerajaan supaya dapat terus membangun terutama dari segi keusahawanan.
Isteri Ketua Menteri, Datin Seri Juliah Salag berkata, keprihatinan kerajaan dapat dibuktikan melalui pembentangan Belanjawan Negeri 2022 dengan penyaluran peruntukan RM17.61 juta kepada Yayasan Usaha Maju (YUM) dan Jabatan Hal Ehwal Wanita Sabah (JHEWA).
“Peruntukan ini untuk pelaksanaan program pembangunan modal insan bagi kesejahteraan wanita.
“Kerajaan persekutuan turut memperuntukkan dana pembiayaan berjumlah RM230 juta antaranya melalui program Skim Pembiayaan Perniagaan Khas Wanita (DanaNITA) di bawah Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan Tekunita menerusi Tekun Nasional (TEKUN), bagi
meningkatkan kapasiti perniagaan mereka pada tahun ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Kepimpinan dan Pameran Keusahawan Wanita sempena Sidang Kemuncak Ekonomi dan Perniagaan Antarabangsa Sabah (SIBES) 2022, di sini, hari ini.
Hadir sama ialah isteri Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Datin Dayang Siti Noor Hayyat Ag Mohd Saufi; Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Myrna Jimenez; dan Pengarah JHEWA, Rusnah Kuyung.
Juliah berharap, program itu dijadikan platform untuk usahawan wanita supaya meneroka lebih luas peluang perniagaan bersama rakan lain, termasuk berkongsi ilmu serta pengalaman.
“Program sehari ini adalah platform paling sesuai untuk usahawan berkumpul bagi mengeratkan silaturahim, berkongsi ilmu terutama perkara baharu dalam dunia perniagaan, merebut peluang yang bersesuaian seterusnya memanfaatkan fasiliti yang telah disediakan oleh kerajaan dan agensi kewangan,” katanya.
Dalam pada itu, Juliah berkata, program yang diadakan hari ini perlu dimanfaatkan sepenuhnya selain dijadikan platform untuk membina keyakinan diri dalam mendepani cabaran dihadapi usahawan wanita.
“Rebutlah semua peluang yang disediakan dan manfaatkanlah sepenuhnya segala ilmu yang diperoleh menerusi program ini.
“Wanita juga perlu cekal bukan sahaja dalam aspek fizikal dan mental, tetapi kebolehan mengurus emosi terutama pada masa kita masih berhadapan dengan pandemik Covid-19,”katanya.
-Deasoka