Bapa saudara selamatkan kanak-kanak digigit buaya

Bapa saudara selamatkan kanak-kanak digigit buaya

Lahad Datu: “Ketika digigit buaya, saya teriak sekuat hati untuk menyelamatkan diri sebelum bapa saudara menarik saya hingga gigitan buaya itu terlepas,” kata Mohd Nazri Jefri, 7, yang nyaris maut selepas disambar buaya di bawah rumahnya di Kampung Puyut, di sini, semalam.

Menceritakan semula detik cemas itu, Mohd Nazri berkata ketika kejadian dia mengambil ayam di bahagian bawah rumahnya sebelum disembar seekor buaya.

“Ketika itu, sepupu saya ternampak seekor buaya lalu menjerit untuk saya menyelamatlan diri.

Ramli (tiga dari kanan) sampaikan sumbangan dari Jabatan Kebajikan kepada ibu mangsa.

“Ketika itu, buaya itu telah menggigit kaki sebelah kanan namun bapa saudara sempat menarik dan membawa saya ke kawasan selamat,” katanya ketika ditemui di Hospital Lahad Datu.

Ibu Mohd Nazri, Azlina Palahuddin menjelaskan bahawa tragedi yang menimpa anaknya semalam bukanlah kejadian kali pertama di kawasan berkenaan.

Jelasnya, sebelum ini sudah ada yang menjadi Korban akibat dibaham buaya.

“Ketika kejadian anak saya (Mohd Nazri) digigit buaya, saya berada di rumah dan terkejut sebaik dimaklumkan mengenai kejadian itu.

“Suami saya sudah berada lokasi dan terus mengangkat anak kami untuk dibawa ke hospital. Ketika itu darah memang mengalir banyak,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Kebajikan Daerah Lahad Datu, Mohammad Ramli Mamma mengambil berat kejadian ini dan akan memberikan bantuan selayaknya kepada mangsa dan keluarga.

“Alhamdulillah… hari ini kita telah selesai melawat satu kes kanak-kanak yang diserang binatang buas dan kita telah menyampaikan bantuan segera.

“Dalam masa yang sama, kami telah menyerahkan dokumentasi bagi permohonan tabung serangan binatangn buas dan dan borang itu kita akan hantar ke ibu pejabat untuk proses kelulusan,” katanya.

Pada 1 Disember lalu, seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun hilang dipercayai dibaham buaya manakala ayahnya parah akibat digigit reptilia ganas berkenaan ketika cuba menyelamatkan anaknya dalam kejadian berhampiran Pangkalan Jeti PPM Lahad Datu.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|