Sabah wujudkan RTPS bagi jaminan bekalan makanan

Sabah wujudkan RTPS bagi jaminan bekalan makanan

Kota Kinabalu: Sabah telah mewujudkan Rangka Tindakan Pertanian Sabah (2021-2030) sebagai usaha untuk memastikan bekalan makanan di negeri ini terjamin.

Yang di-Pertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin berkata, ia selari dengan Dasar Pertanian Negeri Sabah ke-3 (DPNS3, 2017-2026).

Menurut beliau, pelaksanaan rangka tersebut akan dibuat berdasarkan empat prinsip utama, iaitu pengeluaran, inovasi, kelestarian dan pembangunan modal insan.

“Saya percaya, ini selari dengan keutamaan Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang semakin giat memajukan pertanian berteknologi tinggi persis dan pintar.

“Saya dimaklumkan, UMS menerusi Fakulti Pertanian Lestari (FPL), bertekad untuk melahirkan graduan dalam bidang pertanian berteknologi tinggi.

“FPL sedang membangunkan Program Sarjana Muda Teknologi Pertanian Persis Pintar (Smart Precision Farming) yang akan ditawarkan mulai tahun hadapan.

“Inisiatif daripada UMS ini dapat memberi sumbangan besar dalam bidang pertanian dan secara tidak langsung dapat menyumbang kepada kestabilan makanan dan mewujudkan jaminan peluang pekerjaan kepada graduan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan sempena Majlis Konvokesyen UMS Ke-24 di Dewan Canselor UMS, hari ini.

Dalam pada itu, Tun Juhar berkata, kekuatan sesebuah negara boleh dinilai berdasarkan kemampuan untuk menghasilkan makanan yang mencukupi, selamat dan berkhasiat.

Justeru, katanya, keupayaan pengeluaran makanan dan akses kepada makanan perlu ditingkatkan bagi memenuhi keperluan semasa.

“Pengeluaran makanan menjadi lebih mencabar akibat daripada cuaca yang tidak menentu, kekangan sumber, kesan pandemik COVID-19, dan konflik antarabangsa.

“Ini menyedarkan kita betapa pentingnya pertanian untuk menjamin sekuriti makanan dan sebagai penjana ekonomi rakyat dan negara.

“Sabah merupakan negeri yang kaya dengan sumber asli termasuk tanah yang luas dan subur untuk pertanian.

“Sektor ini menyumbang sebanyak 16.5 peratus kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Sabah pada tahun 2020,” katanya.

Untuk rekod, seramai 4,298 graduan bakal menerima Ijazah Doktor Falsafah, Ijazah Sarjana, Diploma Lepasan Ijazah, Ijazah Sarjana Muda dan Diploma pada majlis konvokesyen yang akan berlangsung selama tiga hari ini.

Berdasarkan pecahan, seramai 92 graduan menerima Ijazah Doktor Falsafah, 271 Ijazah Sarjana (271), Ijazah Sarjana Muda (3,798), Diploma (73) dan Diploma Pasca (64).

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|