LAHAD DATU: Persatuan Etnik Idahan Sabah (PEIS) memberi amaran keras kepada mana mana pihak supaya tidak memasuki Gua Tepadong yang merupakan gua warisan sarang burung milik komuniti Idahan tanpa kebenaran pewaris.
Presiden PEIS, Haji Karim Dakog berkata, pihaknya bersyukur individu yang sebelum ini dilaporkan hilang di kawasan gua berkenaan ditemukan selamat, namun tindakan memasuki kawasan itu tanpa izin tetap dipandang serius.
Menurutnya, Gua Tepadong mempunyai nilai adat, warisan dan pemilikan turun temurun, khususnya berkaitan sarang burung yang diwarisi oleh etnik Idahan sejak sekian lama.
Beliau berkata, tindakan memasuki gua warisan yang mengandungi sarang burung ketika musim memungut ditutup boleh dianggap melanggar hukum adat dan boleh dikenakan tindakan mengikut Undang Undang Adat Etnik Idahan, selain peruntukan undang undang lain termasuk Enakmen Mahkamah Anak Negeri 1992, Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997, Enakmen Hutan 1968 dan Kanun Keseksaan.
Haji Karim berkata, laporan polis sudah dibuat oleh Ketua Madai dan Majlis Adat berhubung perkara itu, sekali gus diharap menjadi pengajaran kepada orang ramai agar tidak sewenang wenangnya memasuki gua warisan sarang burung etnik Idahan tanpa kebenaran pewaris.
