Maritim Malaysia laksana pemindahan kecemasan kru kapal dagang

Maritim Malaysia laksana pemindahan kecemasan kru kapal dagang

Tawau: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Tawau melaksanakan bantuan pemindahan kecemasan (MEDEVAC) terhadap seorang kru kapal dagang asing di perairan daerah ini, semalam.

Mangsa Wang Ping Yui, 45,
warganegara China dilaporkan mengalami sakit di bahagian perut dan memerlukan rawatan lanjut.

Kru kapal dagang asing yang mengalami sakit di bahagian perut dipindahkan untuk dibawa ke pusat perubatan di Tawau.

Pengarah Zon Maritim Tawau, Kepten Maritim Shahrizan Raman berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu daripada Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Kota Kinabalu pada jam 5.45 pagi.

“Sejurus menerima laporan, bot peronda Maritim Malaysia diatur gerak ke lokasi kapal kira-kira 26 batu nautika tenggara Perairan Tawau.

“Anggota Maritim kemudian melaksanakan operasi pemindahan pada jam 12.20 tengah hari,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, mangsa kemudian dipindahkan ke bot peronda Maritim Malaysia untuk dibawa ke Jeti CIQ Tawau.

“Seterusnya mangsa dihantar ke sebuah pusat perubatan di Tawau untuk rawatan lanjut pada jam 1.40 petang,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|