Kota Kinabalu: Peningkatan retorik kaum dan agama digunakan parti tertentu yang bertapak di Semenanjung khususnya pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) baru-baru ini antara sebab pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) di Sabah bertindak keluar daripada parti itu.
Bekas Timbalan Ketua Badan Pimpinan BERSATU Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun, berkata situasi itu bertentangan dengan nilai yang diamalkan masyarakat pelbagai kaum dan agama di Sabah serta Sarawak.
Katanya, berikutan itu keputusan mereka untuk memberi tumpuan kepada Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dengan keluar daripada BERSATU dibuat atas kepentingan Sabah dan Malaysia yang lebih baik.
“Ramai yang lupa bahawa ramai rakyat di Sabah dan Sarawak mempunyai ahli keluarga yang berbeza pegangan agama,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.
Setiausaha Agung GRS itu berkata Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim paling baik mewakili pembentukan pentadbiran yang mewakili kepentingan semua rakyat Malaysia sambil melindungi kedudukan Islam dan Bumiputera Sabah serta Sarawak.
Beliau berkata, sukar bagi GRS atau rakyat Sabah untuk menerima apa yang sekarang dipromosikan sebagai ‘politik Islam’.
“Sebagai seorang Muslim, saya bangga dengan agama saya tetapi saya tidak fikir mana-mana parti boleh menuntut menjadi wakil yang tulin terhadap agama agung ini.
“Islam adalah agama sejagat yang inklusif dan menghormati semua kepercayaan dan budaya. Ia adalah agama yang mempunyai belas kasihan dan kemanusiaan yang menghormati hak orang lain termasuk golongan minoriti,” katanya.
Masidi berkata, rakyat Sabah yang pelbagai etnik dan agama sudah hidup dalam suasana harmoni sejak berkurun lama dan perkahwinan campur adalah perkara biasa.
“Kita tidak merujuk diri kita berdasarkan etnik atau agama. Kita hanyalah rakyat Sabah yang mahu melindungi budaya dan warisan kita daripada dicemari dengan nilai yang bukan dari Sabah.
“Sejujurnya, kita adalah rakyat Malaysia yang terbaik,” katanya.
Masidi berkata, GRS akan menyokong mana-mana pemimpin atau gabungan yang komited untuk memelihara cara hidup rakyat Malaysia yang mendapat tempat dalam diri semua orang.
Atas sebab itu juga, katanya GRS menyokong Perdana Menteri Ke-10, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
-Deasoka