Hari Arthritis Sedunia: Ambil langkah pencegahan awal

Hari Arthritis Sedunia: Ambil langkah pencegahan awal

Kota Kinabalu: Mana-mana individu yang mengalami sakit di bahagian sendi dinasihatkan untuk berjumpa dengan pakar kesihatan dan melakukan pemeriksaan lanjut.

Pengarah Kesihatan Negeri Sabah, Datuk Dr Rose Nani berkata, ia mungkin petanda awal penyakit arthritis dan sekiranya tidak dirawat awal boleh menyebabkan komplikasi sehingga menganggu kegiatan harian.

“Bagi pesakit yang mengalami sakit sendi, pertama sekali, nasihat saya adalah untuk berjumpa doktor bagi membuat pemeriksaan lanjut dan memberi ubat yang betul.

“Saya sarankan, jangan mengambil ubat tahan sakit ataupun ubat-ubat alternatif yang mungkin boleh menyebabkan kesan sampingan lain. Contohnya, kerosakan buah pinggang, kerosakan hati dan sebagainya.

“Apa yang membimbangkan, penyakit arthritis ini jika tidak dirawat ia boleh menyebabkan komplikasi dan perubahan pada sendi-sendi sehingga mereka tidak boleh memegang sudu, memasak dan membuat kerja harian.

“Justeru itu, kita ingin mencegah agar tidak sampai pada peringkat itu kerana arthritis ini kita boleh ubat, boleh rawat dan boleh cegah komplikasi dia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas melancarkan Hari Arthritis Sedunia 2022 di Palm Square, Centre Point, hari ini.

Dalam pada itu, Rose Nani berkata, terdapat beberapa faktor yang boleh menyebabkan berlakunya penyakit tersebut.

Sehubungan itu, jelas beliau, ia lebih cenderung berlaku pada individu yang berusia.

“Selalunya ia berlaku dalam kalangan individu yang berusia dan ia turut mengambil kira faktor aktiviti yang dijalankan serta pekerjaan seseorang.

“Contohnya, mereka yang selalu dalam posisi kedudukan semasa bekerja yang menyebabkan mereka sakit belakang ataupun yang sealu mengangkat barang berat,” katanya.

Justeru, katanya, penganjuran program seumpama ini penting dalam usaha untuk meningkatkan kesedaran dalam kalangan masyarakat umum, agar mereka dapat mengambil langkah pencegahan awal.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|