Jumlah kumulatif demam denggi di Sabah cecah 6,352 kes

Jumlah kumulatif demam denggi di Sabah cecah 6,352 kes

Kota Kinabalu: Jumlah kumulatif kes demam denggi yang direkodkan di Sabah mencecah 6,352 kes setakat 9 Disember ini.

Pengarah Kesihatan Negeri Sabah, Datuk Dr Rose Nani Mudin berkata, antara lokasi yang dikenal pasti sebagai ‘titik panas’ terdiri daripada kawasan bandar dan juga kampung.

“Kawasan tumpuan selalunya di kawasan-kawasan bandar tetapi ada juga berlaku di kawasan kampung.

“Sebagai contoh, antara daerah yang banyak melaporkan kes demam denggi ialah di Sandakan, Kota Kinabalu, dan Tawau,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menyempurnakan sambutan Hari Arthritis Sedunia 2022, di Palm Square, Centre Point, di sini, hari ini.

Dr Rose Nani berkata, kehadiran banyak kawasan-kawasan yang mempunyai takungan air kotor menjadi antara cabaran terbesar yang perlu ditangani.

Jelasnya, usaha sama daripada pelbagai pihak penting untuk memastikan keberhasilan langkah pencegahan yang diambil.

“Kita perlu penglibatan daripada orang ramai untuk memastikan tempat mereka bersih, tidak ada bekas-bekas yang boleh menakung air dan menjadi tempat pembiakan nyamuk Aedes.

“Hal ini demikian kerana, walaupun kita dapat merawat pesakit tetapi langkah pencegahan yang diambil tidak akan berkesan selagi kita tidak menghapuskan tempat pembiakan.

“Saya harap terdapat penglibatan bukan sahaja daripada individu tetapi juga agensi-agensi lain, kerajaan tempatan mahupun kerajaan negeri.

“Kita semua perlu menggembeleng tenaga bagi menghapuskan tempat pembiakan nyamuk Aedes ini, barulah kita dapat mencegah denggi,” katanya lagi.

Terdahulu, pada Oktober lalu, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Safar Untong berkata bahawa jumlah kes demam denggi yang direkodkan di Sabah telah mencecah 4,812 kes.

Jelasnya, ia merupakan peningkatan tiga kali ganda berbanding hanya 1,336 kes dicatatkan dalam tempoh sama tahun lepas.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|