Ewon cadang permuafakan menteri dan timbalan menteri Sabah

Ewon cadang permuafakan menteri dan timbalan menteri Sabah

Kota Kinabalu: Satu permuafakan menggabungkan semua menteri dan timbalan menteri dalam Kerajaan Perpaduan Persekutuan dari Sabah dicadang bagi mengukuhkan usaha untuk membela hak rakyat negeri ini.

Menyuarakan cadangan itu, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick, berkata kesepakatan itu penting bagi membantu menjayakan wawasan Kerajaan Perpaduan terutama berkaitan kepentingan rakyat Sabah.

“Saya akan mencadangkan kepada rakan saya Datuk Armizan Mohd Ali, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak) untuk kita buat permuafakatan dan perjumpaan yang konsisten di antara dua orang menteri dan tujuh orang timbalan menteri.

“Kita akan berbincang bagaimana cara terbaik untuk kita mengangkat hak-hak Sabah dalam pimpinan Kerajaan Perpaduan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Ewon yang juga Ahli Parlimen Penampang berkata, beliau juga akan bekerjasama dengan menteri dan semua timbalan menteri dari Sabah bukan hanya membawa pembangunan dan kemajuan di negeri ini tetapi lebih penting, menuntut hak Sabah dalam Perlembagaan Persekutuan dan Perjanjian Malaysia (MA63).

“Saya fikir ini yang wajar dan perlu kita laksanakan. Permuafakatan yang konsisten dan membincangkan hak-hak Sabah, seterusnya sama-sama mengangkat untuk diambil tindakan oleh Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim), menteri dan Kerajaan Perpaduan,” katanya.

Ewon turut merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri atas pelantikan tujuh timbalan menteri dari Sabah.

“Ini satu jumlah yang tidak pernah ada dalam pimpinan kerajaan sebelum ini. Walaupun secara peribadi saya ingin melihat lebih banyak pelantikan menteri dan timbalan menteri dari Sabah, namun apa yang penting ialah pelantikan telah dibuat dan masanya untuk semua yang dilantik bekerja keras untuk rakyat Sabah.

“Sebab itu saya di sini memulakan tanggungjawab bukan hanya sebagai menteri tetapi sebagai Ahli Parlimen Penampang untuk berkhidmat kepada rakyat,” katanya.

Semalam, tujuh Ahli Parlimen dari Sabah dengan tiga daripadanya mewakili Barisan Nasional (BN) mengangkat sumpah sebagai timbalan menteri dalam Kerajaan Perpaduan.

Tiga Ahli Parlimen BN Sabah itu ialah Datuk Siti Aminah Aching (UMNO – Beaufort) dilantik sebagai Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi; Datuk Mohamad Alamin (UMNO – Kimanis) sebagai Timbalan Menteri Luar dan Datuk Arthur Joseph Kurup (PBRS – Pensiangan) sebagai Timbalan Menteri Sains dan Teknologi.

Pakatan Harapan (PH) Sabah pula diwakili dua Ahli Parlimen, iaitu Chan Foong Hin dari DAP (Kota Kinabalu) dan Ahli Parlimen Sepanggar, Mustapha Sakmud (PKR), masing-masing dilantik sebagai Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, dan Timbalan Menteri Sumber Manusia.

Seorang wakil Gabungan Rakyat Sabah (GRS) iaitu Ahli Parlimen Batu Sapi, Khairul Firdaus Akbar Khan pula dilantik sebagai Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, manakala Ahli Parlimen Lahad Datu, Datuk Mohd Yusof Apdal (WARISAN) dilantik sebagai Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|