Dapatkan rawatan segera jika ada tanda awal kanser – Dr Joachim

Dapatkan rawatan segera jika ada tanda awal kanser – Dr Joachim

Ranau: Penduduk kampung digesa supaya mendapatkan rawatan segera jika mengesan tanda-tanda awal kanser sebagai langkah pencegahan sebelum penyakit itu merebak.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Dr Joachim Gunsalam, berkata pencegahan awal penting bagi memastikan kesihatan pesakit dalam keadaan terkawal dan tidak membimbangkan.

Dr Joachim (kiri) menyampaikan sijil penghargaan kepada Dr Rizin.

“Silalah dapatkan rawatan segera kepada mereka yang mempunyai tanda-tanda awal menghidap kanser.

“Ada juga antara mereka yang menghidap kanser payudara masih hidup sehingga kini,” katanya pada Program Kesedaran Kanser anjuran Biro Wanita Persatuan Sukarelawan Kanser Sabah (PSKS) di Kampung Siba, Bundu Tuhan, di sini, semalam.

Program anjuran bersama Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Siba itu disertai seramai 70 penduduk kampung.

Hadir sama Setiausaha Biro Wanita PSKS, Rufina Koting dan Labidah Ewit; Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Kundasang, Dounis Sani; Pengerusi JPKK Kampung Siba, Bundu Tuhan, Hillary Piul serta wakil Lembaga Pembangunan Penduduk dan Keluarga Negara (LPPKN), Ketua Kampung dan Ahli Majlis Tertinggi PSKS.

Dr Joachim yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kundasang, menyifatkan program itu sangat bermanfaat untuk memberi kesedaran kepada penduduk kampung mengenai penyakit kanser seperti kanser payudara, serviks, ovari dan lain-lain.

“Terima kasih kepada Presiden PSKS, Lawrence Imui kerana menghantar pasukan sukarelawan untuk menjayakan program ini.

“Saya yakin program ini juga dapat memberikan kesedaran dan pendedahan kepada orang ramai mengenai cara-cara pencegahan kanser serta garis panduan meneruskan kehidupan sekiranya menghidap kanser,” katanya.

Beliau berkata, penceramah program itu, Dr Rizin Kusop adalah seorang yang berkelayakan dan berpengalaman dalam bidang perubatan.

“Sehubungan itu, saya memohon semua yang hadir dapat memanfaatkan semua maklumat yang diberikan. Pencegahan adalah lebih baik daripada mengubati,” katanya.

Sementara itu, Biro Wanita PSKS mengucapkan terima kasih kepada Jabatan Hal Ehwal Wanita (JHEWA), Sabah atas tajaan untuk mengadakan program itu.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|