Lantikan timbalan menteri tanggungjawab perlu digalas – Mustapha Sakmud

Lantikan timbalan menteri tanggungjawab perlu digalas – Mustapha Sakmud

Kota Kinabalu: Lantikan sebagai Timbalan Menteri Sumber Manusia satu penghormatan dan tanggungjawab yang perlu digalas bagi menyokong usaha Kerajaan Perpaduan dalam memajukan negara.

Ahli Parlimen Sepanggar, Mustapha Sakmud berkata, beliau akan memfokuskan terhadap pelaksanaan sumber manusia yang cekap selepas dilantik sebagai timbalan menteri dalam portfolio sumber manusia.

“Fokus utama saya ialah membantu usaha Menteri Sumber Manusia melaksanakan pentadbiran sumber manusia yang cekap.

“Ia sekali gus membantu memulihkan ekonomi negara dan meningkatkan kebajikan pekerja,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mustapha bertekad membantu memastikan bahawa segala usaha dan inisiatif yang diambil oleh kementerian itu akan memberi manfaat semua rakyat Malaysia, termasuk Sabah dan Sarawak.

Dalam pada itu, beliau turut menzahirkan ucapan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas pelantikannya dan kepercayaan yang diberikan bagi mewakili parti dan Sabah, berkhidmat di peringkat kerajaan persekutuan.

Mustapha merupakan antara tujuh timbalan menteri dari Sabah yang dilantik membarisi Kabinet Kerajaan Perpaduan.

Ahli Parlimen Sabah yang lain ialah Datuk Siti Aminah Aching (Kementerian Perladangan dan Komoditi), Datuk Mohamad Alamin (Kementerian Luar), dan Datuk Arthur Kurup (Kementerian Sains dan Teknologi).

Selain itu, Chan Foong Hin (Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan ), Khairul Firdaus Akbar Khan (Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya) dan Datuk Yusof Apdal (Kementerian Pendidikan Tinggi).

Pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) bulan lalu, Mustapha yang bertanding atas tiket Pakatan Harapan (PH) memenangi kerusi Parlimen Sepanggar dengan majoriti 7,042 undi.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|